Buletin

HASIL JUALAN PROTON MENINGKAT 12.3 PERATUS UNTUK 10 BULAN PERTAMA 2023

Pengeluar kereta nasional PROTON menjana pertumbuhan jualan tahun kelima berturut-turut apabila mencatat hasil jualan 12,772 unit pada bulan Oktober.

Dengan rekod tersebut, ia menjadikan angka tahun sehingga kini (YTD) kepada 129,604 unit (domestik + eksport) untuk 10 bulan pertama bagi tahun 2023, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan bulan sebelumnya, jualan pada bulan Oktober meningkat sebanyak 4.4 peratus kerana jumlah volum industri (TIV) diramalkan telah melebihi had 70,000 unit untuk kali ketiga bagi tahun 2023.

Untuk rekod, pegangan pasaran keseluruhan PROTON dianggarkan pada 20.1 peratus kerana volum YTD bagi keseluruhan industri automotif telah melebihi 645,000 unit dan berada di landasan untuk memecahkan rekod sepanjang masa yang dicapai pada tahun 2022.

Dengan baki dua bulan dalam kalendar tahun 2023, empat model Proton terus menjadi peneraju jualan dalam segmen pasaran masing-masing.

2,021 unit Proton X50 telah dijual pada bulan Oktober sekaligus meletakkannya sebagai peneraju pasaran dan secara kumulatif, SUV segmen B paling popular di negara ini  mencapai 100,210 unit terjual.

Menurut PROTON, ia adalah masa paling singkat yang diambil untuk mana- mana SUV mencapai penanda aras di Malaysia, menunjukkan bukti popularitinya di kalangan pembeli SUV.

Proton Persona mengakhiri bulan Oktober sebagai sedan segmen B ketiga paling popular, tetapi dengan 2,041 unit terjual ia melepasi halangan 2,000 unit untuk kali kelapan tahun ini.

Selain itu, Proton Persona juga kekal sebagai peneraju pasaran dengan jumlah jualan YTD sebanyak 20,655 unit.

Berbanding tahun 2022, jumlah jualan kini meningkat sebanyak 65.5 peratus dan model itu berada di landasan untuk merekodkan tahun jualan terbaiknya.

Bagi jualan untuk Proton X90, kekal kukuh kerana model itu terus menerajui jualan SUV segmen D. 479 unit telah dijual pada bulan Oktober sementara PROTON menghampiri penyiapan inisiatif kemas kini produknya untuk model itu.

Secara kumulatif, 3,914 unit telah dijual pada tahun 2023 dan peningkatan dalam permintaan dijangka dalam beberapa bulan akan datang apabila tempahan mula masuk dari pasaran eksport berikutan pelancaran tawaran hibrid ringan pertama Proton di luar negara.

Sementara itu, Proton Exora mencatatkan hasil jualan 393 unit bagi bulan Oktober, menjadikan bilangan YTD 3,910 unit.

Walaupun berada dalam tahun terakhir pengeluarannya, permintaan untuk Proton Exora meningkat sebanyak 11.5 peratus. pada tahun 2023.

Proton Saga kekal sebagai model paling popular syarikat itu dan pada bulan Oktober, 6,322 unit telah dijual, meningkatkan jualan YTD kepada 57,806 unit.

Ini bermakna model itu berjaya melepasi volumnya dari keseluruhan tahun 2022 hasil daripada peningkatan 26 peratus dalam permintaan untuk sedan segmen A.

Akhir sekali, Proton Iriz meneruskan prestasi kukuhnya pada tahun 2023 dengan 589 unit terjual untuk menjadikan jualan terkumpul sebanyak 6,633 unit.

Angka diperolehi itu menyaksikan peningkatan sebanyak 37.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Begitu juga dengan Proton X70, menunjukkan prestasi yang stabil, dengan 927 unit terjual pada bulan Oktober, meningkat sebanyak 18.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Google ads
Back to top button