Buletin

HONDA BR-V CATAT TEMPAHAN LEBIH 1,400 UNIT DALAM MASA SEBULAN. VARIAN V PALING LAKU

Honda Malaysia baru-baru ini menyatakan bahawa BR-V baharu telah merekodkan lebih 1,400 tempahan selepas sebulan dilancarkan.  

Maklum balas yang memberangsangkan model Bold Runabout Vehicle itu banyak disumbang oleh gabungan rekaan SUV dan ruang dalaman luas, sekali gus mampu memenuhi apa jua keperluan keluarga.

Sejak dilancarkan buat pertama kalinya di Malaysia pada tahun 2017, lebih 32,600 unit sudah terjual. Wilayah Tengah menyumbang 42 peratus tampahan dengan lebih 85 peratus pelanggan memilih varian V dan 24 peratus mengambil warna perak metalik.

“Bulan lalu, Honda Malaysia mengumumkan pengurangan harga BR-V berikutan pengumuman pengecualian cukai oleh kerajaan. Inisiatif itu nyata membantu merangsang ekonomi dan industri automotif negara.

“Pengecualian cukai itu membolehkan pengguna menerima insentif lebih menarik apabila membeli kenderaan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

BR-V digerakkan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120PS yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Ia juga hadir dengan ruang kargo paling luas iaitu 223 liter yang boleh ditambah menjadi 539 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Sempena pelancaran BR-V, Honda Malaysia turut mengadakan dua kempen bantuan komuniti. Kempen “Be Kind With BR-V” diadakan bagi menyokong program bantuan COVID-19.

Sementara “Honda Dealer Donation Drive” pula merupakan kempen yang mengumpul para pengedar bagi memberi sokongan kepada komuniti setempat yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Google ads
Back to top button