Artikel Pilihan

HONDA CITY RS i-MMD: CIRI TEKNIKAL ENJIN BARU

Sebelum ini kami pernah mengeluarkan artikel berkenaan dengan enjin Honda City baru yang akan digunakan di Malaysia. Jangkaan awal kami ialah Honda akan menggunakan enjin baru 1000cc 3 silinder turbo sama seperti yang digunakan di Thailand. Namun tekaan kami jauh meleset menyebabkan kami terpaksa menulis semula artikel mengenai enjin Honda City

Honda Malaysia mengejutkan ramai peminat permotoran dengan iklan terbaru mereka dengan enjin baru yang ditawarkan pada Honda City RS yang datang dengan teknologi i-MMD yang merupakan singkatan kepada terma Intelligent Multi Mode Drive. Untuk memahami dengan lebih lanjut berkenaan teknologi i-MMD ini, kami telah membuat kupasan penuh pada pada enjin 2000cc i-MMD

Jadi berbalik semula kepada enjin yang akan digunakan oleh Honda bagi model City RS ini, kebanyakan media melaporkan ia menghasilkan sekitar 109PS (107 kuasa kuda) dan 253Nm tork hasil gabungan kuasa enjin dan sistem Hibrid i-MMD. Angka ini sebenarnya menyamai angka yang dihasilkan oleh sistem janakuasa yang digunakan pada Honda Insight 2020 (tidak dipasarkan di Malaysia).

Jadi penulis yakin, enjin Honda City RS yang digunakan bersama sistem i-MMD sebenarnya hampir sama dengan enjin yang digunakan oleh Honda Insight. Enjin ini sebenarnya masih berada dalam keluarga besar Siri L enjin 1500cc yang dihasilkan oleh Honda. Namun dengan beberapa ciri yang berlainan bagi membezakannya dengan model biasa.

Enjin Siri L diperkenalkan bermula tahun 2002 dengan pengenalan awal enjin bersaiz 1200cc, 1300cc dan 1500cc. Bagi versi awal ia digunakan pada Jazz/City versi awal dengan kod L13A (pilihan VTEC atau iDSI) L15A (VTEC/iDSI), L15A7 (i-VTEC), L15B (DOHC, suntikan bahan api terus), L15B7 (VTC,DOHC, Turbo) yang digunakan pada Honda Civic dan CRV.

Bagi aplikasi hibrid, ia memiliki varian berbeza dengan kod LDA MF3 (Insight 2009), LDA MF5 ( 3 stage i-VTEC & hibrid bagi Civic hibrid 2013), LEA MF6 (i-VTEC & hibrid CRZ) dan akhir sekali varian yang bakal diperkenalkan ini dikenali dengan kod LEB-MMD (i-VTEC & Sport Hibrid). Enjin ini merupakan enjin 4 silinder dengan kapasiti 1500cc.

Diameter silinder adalah sebesar 73mm dan saiz lejang ialah 89.5mm. Nisbah mampatan juga berbeza dengan varian biasa iaitu 13.5:1 berbanding versi biasa yang menggunakan 10.4:1. Pemasaan injap dikawal dengan mekanisme Double Over Head Cam dengan sistem pemasaan i-VTEC. Suntikan bahan api menggunakan jenis port fuel ataupun EFI yang biasa berbanding dengna suntikan bahan api terus.

Enjin ini hanya menghasilkan 107 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 134Nm tork pada 5000 RPM. Angka yang rendah ini sebenarnya dihasilkan menerusi kitaran enjin Atkinson bagi tujuan pembakaran dan operasi yang efisyen. Bagi mengatasi masalah kekurangan tork, jurutera memadankan enjin ini dengan teknologi elektrifikasi dan motor elektrik

Berbeza dengan sistem i-DCD yang hanya menggunakan satu motor sahaja, sistem i-MMD menggunakan 2 motor elektrik yang bertindak memberikan tork tambahan dan juga regenerator yang akan mengecas sistem bateri ion Lithium. Motor elektrik ini menghasilkan 127 kuasa kuda di antara 4000-8000 RPM dan tork maksima 253Nm dari 0 RPM. Secara keseluruhan sistem ini menjana 151 kuasa kuda, namun kita tunggu angka sebenar yang akan dikeluarkan oleh Honda nanti

Enjin LEB MMD yang ada pada sistem i-MMD akan befurngsi sebagai:

1. menjana kuasa elektrik menerusi satu motor untuk mengecas bateri ion Lithium. Dalam kes ini kami percaya enjin ini akan bertindak sebagai range extender kepada Honda City RS

2. Membekalkan kuasa secara terus kepada tayar depan menerusi satu lagi motor elektrik apabila pemandu meminta lebih kuasa.

3. Menghasilkan kuasa elektrik kepada motor elektrik bagi tujuan pemanduan

Jadi dalam kes Honda City RS ini, enjin hanya akan menggerakkan kereta pada kelajuan tinggi sahaja. Disebabkan motor elektrik berupaya menjana tork maksima pada 0 RPM, maka sistem ini tidak menggunakan gear. Sebaliknya ia hanya menggunakan gear tunggal sahaja sama seperti kereta elektrik. Namun bagi mengelakkan kekeliruan, Honda memanggil sistem ini sebagai e-CVT

e-CVT memliki beberapa gear ratio yang berbeza bagi pemanduan iaitu:

Motor elektrik sahaja – 2.454

Motor elektrik dengan enjin – 0.805

Gear Mengundur – 2.454

Gear Akhir – 3.42

Bateri sistem pula boleh dicas ketika proses brek yang dinamakan sebagai regenaratif braking dimana tenaga kinetik akan ditukar menjadi tenaga elektrik berbanding dengan tenaga haba yang akan dibuang ke persekitaran. Bateri juga boleh dicas ketika enjin dihidupkan. Secara purata teknologi ini membolehkan penggunaan petrol sehingga 22km per liter.

Google ads
Back to top button