Buletin

HONDA CIVIC DAN BR-V HADIR DENGAN WARNA PUTIH MUTIARA BAHARU. KENA TAMBAH RM272

Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan satu warna baharu untuk dua model popularnya iaitu Civic dan BR-V. Warna putih mutiara (Platinum White Pearl) itu sebelum ini pernah digunakan pada Odyssey dan Accord.

Civic dengan warna baharu ini sudah boleh didapati mulai sekarang. Manakala BR-V pula boleh dibeli pada November 2020. Pelanggan bagaimanapun perlu membayar wang tambahan sebanyak RM272.73 untuk mendapatkan warna ini.

Warna baharu itu meningkatkan lagi gaya dan elegan Civic dan BR-V. Setakat ini, kedua-dua model tersebut mendominasi segmen masing-masing dan menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan Honda Malaysia.

“White Orchid Pearl merupakan warna yang popular dalam kalangan pelanggan Honda yang mewakili 38 peratus (Civic) dan 25 peratus BR-V. Apabila kami memperkenalkan warna Platinum White Pearl pada Accord tahun lalu, maklum balas daripada pasaran cukup memberangsangkan dengan menyumbang sebanyak 33 peratus jualan Accord.

“Jadi kami memperkenalkan pula warna ini kepada Civic dan BR-V. Kami akan terus memantau permintaan pasaran dalam usaha menawarkan produk terbaik kepada pelanggan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

Civic mengekalkan kedudukan sebagai model sedan segmen C paling laris dengan penguasaan pasaran sebanyak 79 peratus. Dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter dan NA 1.8 liter, jentera itu menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan.

Civic 1.5 TCP juga dipasang dengan sistem keselamatan termaju iaitu Honda SENSING dan Honda LaneWatch.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, lebih 38,000 unit Honda BR-V telah berjaya dijual. Antara ciri menjadi kegemaran pengguna ialah tempat duduk dengan pelbagai konfigurasi yang menjadikannya lebih versatil.  

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button