Buletin

HONDA CIVIC FACELIFT 2020. 3 VARIAN, HONDA SENSING. BERMULA RM113,600 SEUNIT

Honda Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi Civic facelift 2020 ke pasaran tempatan. Civic generasi ke-10 nyata mendominasi segmennya dengan penguasaan pasaran sebanyak 72 peratus sepanjang tahun 2019.

Sejak dilancarkan empat tahun lalu, lebih 48,000 unit Civic berjaya diual. Secara keseluruhannya, Civic yang diperkenalkan di Malaysia telah mencatat jualan lebih 135,000 unit setakat Januari 2020.

Ia sememangnya membantu Honda Malaysia mengekalkan posisinya selaku jenama kenderaan Bukan Nasional No. 1 untuk lima tahun berturut-turut.

Honda Malaysia mensasarkan jualan Civic 2020 sebanyak 1,000 unit sebulan. Harga bagi 3 variannya adalah seperti berikut:

  • 1.8S         – RM113,600
  • 1.5TC      – RM129,600
  • 1.5TC-P  – RM139,600

Perubahan paling ketara pada Civic facelift 2020 ialah jentera itu kini dilengkapi 8 ciri penuh sistem keselamatan aktif Honda SENSING. Pengenalan Civic melengkapkan model Honda yang dilengkapi Honda SENSING untuk kenderaan segmen C dan ke atas.

Sebelum ini, CR-V, Accord dan Odyssey sudahpun dipasang dengan sistem keselamatan termaju itu.

Civic facelift itu juga dipasang dengan Honda LaneWatch yang membantu mengurangkan titik buta agar lebih selamat ketika hendak menukar haluan. Ia menjadi model pertama yang hadir dengan ciri ini dalam segmennya.  

Dari segi luaran, jentera itu menyerlahkan lagi gayaan sebuah fastback. Civic 2020 didatangkan dengan bampar hadapan baharu bersama gril berwarna hitam. Kemasan pada bampar belakang, spoiler dan rim aloi hitam bersaiz 18-inci.

Civic dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbo yang mampu menjana 173PS dan tork 220Nm. Fastback itu juga ditawarkan dengan pilihan enjin 1.8L i-VTEC berkuasa 141PS dan tork 174NM, sesuai untuk mereka yang lebih gemarkan enjin aspirasi biasa.

Mazda CX30

Ruang kabin Civic disempurnakan lagi dengan pelbagai ciri yang biasanya dipasang pada model segmen D.

Misalnya kerusi dibalut kulit, tempat duduk pemandu berkuasa dengan 8 Talaan, pengilap cermin hadapan automatik, Remote Engine Start dan Walk Away Auto Lock sebagai ciri standard untuk semua varian. Tekstur suis pada stereng kini dilihat lebih cantik.

Untuk memaksimumkan ruang kargo, konfigurasi 60:40 pada kerusi belakang meningkatkan lagi aspek praktikaliti kereta ini.

Sementara suis kawalan kipas pendingin hawa yang boleh dikawal menerusi satu butang sahaja pasti dapat memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang hadapan sepanjang perjalanan.

Semua varian Civic Baharu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang terbaik dalam kelasnya seperti enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Agile Handle Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-lock Braking System), Brake Assist (BA), Auto Brake Hold (ABH), Sensor Hadapan Baharu dan ISOFIX pada tempat duduk belakang.  

Civic 2020 juga ditawarkan dengan warna baharu iaitu merah mutiara.  Pilihan warna yang lain ialah perak, putih Mutiara, kelabu, dan hitam mutiara.

Maklumat lanjut mengenai Civic baharu, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 100 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi talian Tol Percuma Honda di 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

Nah, tengok video ni

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button