Artikel Pilihan

HONDA CR-V 2023, APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI?

Jika anda peka dengan berita semasa dunia automotif, anda akan perasan yang Honda CR-V generasi terbaru telah membuat kemunculan di pasaran terbesar di dunia iaitu Amerika. Bagi pasaran Asia Tenggara, CR-V masih lagi diuji dengan beberapa kelibat SUV dengan samaran dijumpai di Thailand menandakan pelancaran model baru ini sudah hampir tiba.

Jadi kami bawakan kepada anda beberapa maklumat terkini berkenaan Honda CR-V generasi terbaru ini berdasarkan maklumat yang didapati di pasaran Amerika. Antara informasi yang dapat dipastikan ialah:

1. Di sana Honda CR-V muncul dengan 4 varian utama dan 2 pilihan trenkuasa. 4 varian ini adalah EX (RM 150,000) dan EX-L (RM 162,000) dengan padanan enjin 1500cc 4 silinder turbo yang digabungkan dengan transmisi CVT. Varian yang dipasarkan di Amerika ini menawarkan 2 tetapan pemanduan samaada pacuan 2 roda atau pacuan semua roda AWD

2 lagi varian adalah Sport Hybrid (RM 156,000) dan Sport Touring Hybrid (185,000) yang menggunakan enjin 2000cc yang digabungkan dengan sistem hibrid bagi menghasilkan trenkuasa intelligent Multi Mode Drive. Sama seperti City dan HR-V, sistem ini menggunakan 2 motor elektrik.

2. Bagi varian bukan hibrid, enjin 1500cc turbo akan menjana sekitar 190 kuasa kuda pada 5600 RPM dan 243Nm tork seawal 2000 RPM. Bagi varian hibrid i-MMD, trenkuasa ini menjana sehingga 204 kuasa kuda dan 334Nm tork dengan gabungan enjin 4 silinder 2000cc aspirasi normal dan juga 2 motor elektrik.

Bagi varian hibrid, ia tidak menggunakan transmisi CVT sebaliknya tork maksima 334Nm yang dihasilkan oleh motor elektrik sudah cukup untuk menggerakkan CR-V ini. Enjin hanya akan bertindak sebagai pengecas bateri sahaja dan hanya pada kelajuan tinggi sahaja kuasa enjin disambunngkan pada tayar

3. Bagi varian pacuan 2 roda yang dikuasakan dengan enjin 1500cc turbo dan menggunakan transmisi CVT, bacaan purata penggunaan bahan api ialah sekitar 11.9km bagi setiap liter petrol untuk pemanduan dalam bandar. Bagi pemanduan jarak jauh pula, ia memberikan bacaan purata 14.45km per liter petrol

Varian hibrid pula memberikan bacaan yang lebih baik pada 18.28km per liter untuk pemanduan dalam bandar. Bagi pemanduan atas lebuh raya, varian hibrid memberikan bacaan sekitar 15.3km bagi setiap liter petrol

4. Dari segi rekaan luaran, Honda CR-V menggunakan penggayaan yang hampir sama seperti Honda Civic dengan garisan permukaan telah diminimakan. Hanya penegasan pada shoulder line sahaja yang dititkberatkan bagi menghasilkan bentuk yang tegap.

Panjang Honda CR-V ialah 4694mm, lebar 1864mm dan tinggi adalah 1681mm. Ini bermakna CR-V telah bertambah panjang 69mm, bertambah lebar 10mm tapi menjadi lebih rendah sebanyak 8mm. Jarak antara roda juga bertambah 40mm menjadi 2700mm secara keseluruhan

5. Pada hemat kami, Honda akan mengekalkan 90% rekaan luar yang ada pada Honda CR-V pasaran Amerika untuk pasaran Asia melainkan mereka sanggup melabur bagi mengubah elemen rekaan luar. Antara elemen yang menonjol ialah jeriji depan yang lebih besar dengan kemasan hitam berkilat dan logo Honda diapungkan di bahagian tengah

Jeriji bawah pula diberi kemasan seakan rongga kemasukan udara yang mengapit di bahagian kiri dan kanan bampar, dan disudahkan dengan C-Shape sama seperti Honda Civic. Bagi menjadikan rekaan ini lebih menonjol, perumah lampu LED depan diberi kemasan hitam, cermin sisi hitam dan roda aloi hitam berkilat

6. Bahagian dalaman CR-V juga adalah hampir sama dengan Civic terutama dari segi rekaan papan pemuka yang menggunakan jeriji honeycomb, rangkaian meter digital, suis penyaman udara, unit multimedia terapung dan juga roda stering.

Hanya dari ruang ke bawah seperti tombol gear, perehat tangan dan konsol tengah akan mengingatkan anda rekaan Honda CR-V generasi yang terdahulu. Ruang kargo juga telah dipertingkat sehingga menjadi 1019 liter bagi varian 1500cc turbo. Ruang kargo boleh dibesarkan menjadi 2166 liter bila kusyen barisan kedua dilipat.

7. Honda CR-V terbaru juga menawarkan ciri Real Time All Wheel Drive dengan Intelligent Control System yang menawarkan cengkaman yang lebih baik ketika selekoh dengan menghantar lebih banyak kuasa enjin pada tayar belakang jika ia mengesan input stering. Selain daripada Sport Mode, varian AWD juga turut diberikan ciri Snow Mode.

8. Dalam aspek keselamatan, CR-V 2023 turut dipenuhi dengan teknologi baru melalui Honda Sensing yang merangkumi brek kecemasan automatik, amaran pra-perlanggaran, Driver Attention Alert, Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang dan kamera mengundur. Sistem ini turut disertai dengan Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist secara standard pada semua varian

9. Bagi aspek keselesaan, CR-V diberikan ciri tambahan lain seperti sambungan Apple Car Play, Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar, ciri Honda Link, unit multimedia 9 inci, sambungan USB Type C untuk mengecaj telefon di barisan kedua dan 12 pembesar suara daripada jenama BOSE

10. Bagi pasaran Amerika, CR-V akan ditawarkan dengan servis pecuma selama 2 tahun atau maksima 24,000 batu (38,000km) yang merangkumi penukaran minyak enjin, penjagaan tayar dan pemeriksaan percuma. Ia juga diberikan jaminan sehingga 36,000 batu atau selama 3 tahun manakala jaminan untuk enjin adalah selama 5 tahun atau 60,000 batu

Bagi pasaran Asia Tenggara, seperti biasa kami menjangkakan ia akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu seawal dalam suku ke 4 tahn 2022 atau awal tahun 2023. Honda CR-V untuk pasaran Malaysia pula akan dilancar dalam masa 6-12 bulan selepas pasaran Thailand dilancarkan.

Google ads
Back to top button