
HONDA CR-V GENERASI KE 6, APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI?
Honda Civic dan Honda CR-V adalah adik beradik yang rapat dimana kedua dua model ini diasaskan dengan menggunakan platform yang sama. Jadi sebaik sahaja Honda Civic generasi ke 11 mula dipasarkan, peminat automotif akan menjangkakan Honda CR-V generasi ke 6 akan dilancarkan tidak lama lagi
Jadi kami senaraikan di sini beberapa maklumat penting berkenaan crossover popular yang diasaskan dengan cesi dan platform Honda Civic ini.
1. Beberapa gambar Honda CR-V telah berjaya dirakam ketika ia menjalani ujian jalan rayadi Jerman. Walaupun sarat dengan pelekat penyamaran, kita masih boleh melihat bahagian depan CR-V direka dengan jeriji bahagian atas dan bawah.

2. Jeriji bahagian atas direka dengan besar dan dominan manakala jeriji bahagian bawah lebih kecil serta kita boleh nampak unit intercooler. Lampu depan rekaan baru menggunakan LED manakala lampu rekaan belakang diletakkan secara melintang, sama dengan model generasi ke 5
3. Imej ini adalah selari dengan imej janaan 3D model Honda CR-V yang tertiris beberapa bulan lepas. Malah jika diperhatikan dengan teliti pada bahagian bampar depan, rekaannya adalah hampir selari dengan rekaan Honda Civic generasi ke 11.
4. Kehadiran intercooler juga menandakan bahawa pilihan enjin 4 silinder 1500cc turbo akan terus digunakan sebagai tawaran enjin utama. Namun besar kemungkinan enjin ini akan ditala dengan lebih kuasa, sama seperti yang dibuat pada Honda Civic.

5. Tapi terdapat satu lagi pilihan enjin 4 silinder 2000cc yang menggunakan kitaran Atkinson dan dipadankan dengan sistem 2 motor hibrid. Besar kemungkinan juga Honda CR-V akan menerima teknologi hibrid dengan gabungan kuasa sekitar 180 kuasa kuda dan 315Nm tork.
6. Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan Honda akan memasang sistem PHEV pada model CR-V nanti disebabkan Dongfeng Honda China telah menghasilkan varian hibrid i-MMD e+ pada model generasi ke 5. Varian ini boleh dipandu sejauh 85km dengan satu pengecasan penuh
7. Prototaip Honda CR-V yang diuji juga kelihatan lebih panjang berbanding dengan CR-V generasi ke 5 mungkin memberi petunjuk yang generasi ke 6 nanti berupaya memuatkan 3 baris tempat duduk sama seperti Volkswagen Tiguan.

Honda CR-V juga boleh megikut jejak langkah Nissan X-trail yang menawarkan konfigurasi tempat duduk 2-3-2 dengan 2 kusyen di barisan ketiga boleh disimpan dan ditanam dalam lantai. Ia juga kemungkinan hanya sesuai untuk kanak-kanak sahaja.
8. Secara keseluruhan rekaan Honda CR-V ini akan menggunakan rekaan yang lebih ringkas dan elegan berbanding dengan model sekarang yang terlalu sarat dengan lekuk dan garisan. Rekaan Honda yang baru ini boleh dilihat pada Honda Civic dan HR-V yang baru, tampil lebih elegan dan kemas
Mengikut perancangan, Honda Malaysia akan memperkenalkan 2 buah model baru pada tahun 2022 nanti. Telahan kami ialah ia adalah Honda BR-V dan juga Honda HR-V bagi menggantikan model lama sedia ada. Jika benar telahan kami, Honda CR-V akan mula memasuki pasaran Malaysia seawal tahun 2023.