
MFORCE MOTOSHOW 2026 DIUMUMKAN
MForce Bike Holdings merupakan antara pihak yang berjaya memeriahkan Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung di MAEPS, tahun lalu.
Membariskan pelbagai jenama baharu, dewan yang dibarisi motosikal MForce antara yang menjadi tumpuan utama ekoran kesemua jenama yang dipasarkan disini menampilkan reruai (booth) yang gah setaraf pameran motosikal antarabangsa.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira beberapa faktor, MForce membuat keputusan untuk tidak menyertai MAS2025 tahun ini sebaliknya memberi fokus untuk menjayakan projek terbesar bagi tahun 2026.
MForce dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka akan menganjurkan MForce Motoshow 2026, sebuah acara eksklusif yang akan membariskan bukan sahaja model sedia ada dari 12 jenama malah akan turut membariskan model baharu serta model akan datang.

Dalam pada itu, pengjungjung juga akan berpeluang merasai kemampuan motosikal tawaran MForce menerusi sesi tunggang uji (test ride), selain menikmati pelbagai tarikan termasuk pertunjukan stunt, konvoi, serta pelbagai aktivti menarik lain.

Menurut MForce, sokongan yang diterima ketika MAS2024 telah memberi semangat kepada pihak mereka untuk menganjurkan pameran motosikal sendiri memandangkan terdapat banyak jenama yang berada di bawah payung MForce ketika ini.