HONDA SUPER CUB C125 2024 WARNA BIRU UNTUK JEPUN, RM14.4 RIBU
Honda Super Cub C125 dilancar pada 2018 dan pada 2021 menerima enjin baharu. Tarikan Super Cub C125 ialah pada gayaannya ala Super Cub C100 iaitu model pertama dalam siri Super Cub.
Sepanjang penawarannya juga Honda giat memperbaharui warna dan pada 2023 memperkenalkan Pearl Cadet Gray ala Honda lampu bulat.
Untuk 2024 Honda menawarkan warna baharu iaitu Pearl Bosphorus Blue dan mula dijual pada 28 Mac.
Warna itu menggantikan Pearl Cadet Gray yang secara rasminya menjadi jumlah terhad. Dua warna lain iaitu Pearl Nebula Red dan Matte Axis Gray Metallic kekal.
Walaupun kekal model Pearl Nebula Red menerima balutan pelana warna coklat dan perak. Pearl Bosphorus Blue dan Matte Axis Gray Metallic pula menggunakan pelana merah.
Daripada tiga model tersebut, Matte Axis Gray Metallic nampak begitu garang dengan warna serba hitam. Ekzos juga menarik dengan penutup hitam melindungi badan krom.
Membawa gaya klasik, Super Cub C125 nampak moden dengan rim jejari saiz 17 inci bercabang di depan dan menegak di belakang.
Tayar depan menggunakan saiz 70/90-17M/C 38P dan 80/90-17M/C 50P di belakang.Â
Brek cakera depan dengan sistem anti kunci menambah lagi ciri moden. Turut dilengkapi sistem Honda SMART Key yang memudahkan kerja menghidupkan enjin dan lampu LED.
Super Cub C125 digerakkan enjin JA71E 123cc OHC, silinder tunggal sejukan udara dengan empat gear.
Enjin dengan sistem pancitan PGM-FI menghasilkan 9.8 ps pada 7,500 rpm dan tork 10Nm pada 6,250 rpm.
Untuk bersiar-siar sekeliling perumahan atau berjalan jauh Honda membekalkan tangki petrol dengan muatan 3.7 liter. Kecil?
Bawa tong tambahan dan motosikal ini nampak cantik dengan segala barangan kembara.
Honda menyasarkan untuk menjual 2,300 unit Super Cub C125 setahun di Jepun dan ditawarkan pada harga 451,000 yen (RM14,393). Harga itu naik 11,000 yen berbanding model 2023.