Artikel Pilihan

HOTWHEELS KINI BERUSIA SETENGAH ABAD

Bagi yang baru nak belajar mengumpul Hotwheels tu ada baiknya kita mengenali sejarah kereta mainan paling berpengaruh pernah dihasilkan. Sejarah baru dunia automotif tercipta bila Hotwheels diperkenalkan pada 18 Mei tahun 1968. Id diperkenalkan oleh syarikat Mattel, sebuah syarikat permainan popular sebelum pasar raya kita dilambakkan dengan pelbagai permainan murah dan mahal buatan China.

Selama setengah abad juga berbillion model minatur besi kereta-kereta terkenal telah dihasilkan untuk hiburan kanak-kanak dan bapa mereka sekali. Satu perkara nyata Hotwheels telah mengembangkan minat orang ramai terhadap kereta sejak dari kecil lagi.

Untuk memahami kesan yang dibawa Hotwheels, kita wajar lihat lanskap asal model-model kereta mainan pada awal tahun 1968. Eh korang dah ada ke belum masa tu? Pada masa itu kereta mainan dipasarkan sebagai salinan ataupun replika kereta sebenar lengkap dengan tayar getah. Dengan kata lain ia mempunyai cengkaman dan bukan sekadar dipamerkan di atas rak pameran. Budak-budak dulu memang akan bermain dengan kereta mainan mereka dan bukanya memerhati dari luar kotak pameran.

Hotwheels diperkenalkan dengan gandar roda yang dihasilkan daripada nikel untuk mengurangkan geseran agar roda mampu bergerak dengan lebih lancar. Ia juga pada awalnya dilengkapkan dengan tayar getah dan trek plastik berwarna oren untuk membolehkan model-model keluaran mereka melakukan aksi yang diinginkan oleh kanak-kanak.

 

Hotwheels beroperasi  di El Segundo, California di bawah payung syarikat Mattel sewaktu zaman kegemilangan budaya kereta Amerika Syarikat. Kilang pengeluaran mereka berjiran dengan ibu pejabat pasukan lumba terkenal Brock Racing Enterprise yang berlumba dalam kejohanan SCCA menggunakan kereta keluaran Nissan. Selain daripada itu ‘jiran’ mereka yang lain ialah Electramotive dan Kent Racing yang juga merupakan pasukan lumba terkenal di AS pada ketika itu.

Disebabkan itulah pencipta Hotwheels Elliot Handler mula mencipta dan memasarkan kereta-kereta yang dinamakan California Customs dengan tayar besar dan cat ‘spectraflame’ yang cukup menyerlah. Kebanyakan model tersebut juga mempunyai enjin yang terbuka dan enzos di bahagian sisi. Berbeza dari model keluaran syarikat lain, Hotwheels memang kena dengan selera kanak-kanak ketika itu.

Ia mewujudkan tsunami dalam industri dan menyebabkan syarikat pesaing seperti Matchbox terpaksa mengeluarkan produk terbaru untuk menguasai pasaran. Hotwheels merupakan syarikat pertama yang merintis model-model hot rod, dragster dan kereta-kereta pameran dengan warna yang menyilaukan mata.

BACA: NISSAN SKYLINE WAGON HAKOSUKA – SASARAN BURUAN PEMINAT HOTWHEELS SELURUH DUNIA TAHUN INI

Barisan model asal mempunyai 16 kereta yang dikenali oleh pengumpul dengan nama Sweet Sixteen. Sama seperti sekarang ada antaranya replika model sebenar dan ada juga kereta-kereta fantasi.

Pengaruh Hotwheels bukan hanya terhad pada kereta mainan tetapi pada sekitar tahun 70-an mereka satu-satunya penaja bukan dari kalangan syarikat automotif yang menjadi penaja pasukan lumba NHRA.

Bukan itu sahaja sebuah Corvette Custom yang dihasilkan berdasarkan C3 Stingray telah dikeluarkan mereka sebelum Chevrolet mengeluarkan model sebenar. Pereka untuk kebanyakan 16 model asal ialah Harry Bentley Bradley, seorang pereka dari General Motors sebelum bertukar ke Mattel.

Bukannya sesuatu yang pelik bila kebanyakan pereka Hotwheels memang berasal dari bidang automotif. Ini kerana walaupun ia hanya model yang dikecilkan dari saiz asal, semuanya mesti disesuaikan dengan sempurna untuk ia berfungsi dengan baik.

Kini Hotwheels sudahpun berusia 50 tahun, ketika banyak jenama kereta-kereta mainan lain pupus ditelan permainan video dan dalam talian. Mereka masih gah dengan deretan peminat dan pengumpul di seluruh dunia.

 

Google ads
Back to top button