
HUSQVARNA VITPILEN 801 BAKAL DIPERKENALKAN DI EICMA?
Husqvarna sebelum ini telah pun melancarkan Svartpilen 801 yang merupakan motosikal paling berkuasa pernah diperkenalkan jenama motosikal Sweden itu.
Svartpilen 801 merupakan motosikal gaya scrambler yang dipacu enjin parallel-twin 799cc DOHC yang sama diguna pakai pada KTM 790 Duke.

Dalam perkembangan terbaru, Husqvarna sah bakal perkembangkan model 801 kali ini menerusi Vitpilen 801 setelah Piere Mobility AG – syarikat pemilik kepada KTM, Husqvarna dan GasGas – memfailkan dokumen di Amerika Syarikat.

Kemunculan Vitpilen 801 sudah pun dijangka kerana model itu mengguna pakai kerangka dan enjin yang sama dengan Svartpilen 801 sepertimana yang ditawarkan model 401 dan 250 sebelum ini.
Walaupun dokumen tersebut tidak menyatakan kuasa dan tork ditawarkan namun pastinya Vitpilen 801 akan menawarkan 105hp dan 87Nm.

Buat masa ini perincian lain termasuk tarikh pelancaran masih belum diumumkan namun kami jangkakan Husqvarna Vitpilen 801 akan membuat debut di EICMA, November ini.