Buletin

HYUNDAI CRETA KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan tempahan untuk Hyundai Creta kini dibuka secara rasmi di semua cawangan jualan sah di seluruh negara atau boleh terus akses ke Cl!cktoBuy (https://www.hyundai.com.my/clicktobuy/).

Hyundai Creta menampilkan keberanian dan keperibadian, terutama dari segi rekaan hadapan Parametric Jewel dengan padanan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang tersembunyi di dalam gril.

Pada waktu malam, lampu DRL digabungkan dengan lampu depan projektor LED yang dipasang pada bampar memberikan kesan visual lebih menarik.

Di bahagian dalam, pelbagai ciri teknologi  dimuatkan. Antaranya paparan LCD TFT bersaiz 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 8-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan empat mod pemanduan.

Dari segi keselamatan, Creta didatangkan standard bersama enam beg udara dan rangkaian Hyundai SmartSense. Sistem keselamatan aktif itu terdiri daripada Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong, Kepekaan Ketibaan Kenderaan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Amaran Keluar Selamat serta Bantuan Lampu Tinggi.

Ciri keselamatan Hyundai Creta mendapat penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Butiran spesifikasi mekanikal Hyundai Creta baharu akan didedahkan lebih terperinci semasa pelancaran.

Di pasaran Indonesia, Hyundai Creta tiba dalam empat varian. Ia dikuasakan oleh enjin Smartstream 1.5L yang berupaya menghamburkan kuasa 113hp pada 6.300rpm dan tork 143.8Nm pada 4.500rpm. SUV kompak tersebut dijual pada harga RP291.3 juta (RM87,085) hingga RP408.3 juta (RM122,104).

Google ads
Back to top button