Buletin

HYUNDAI JANJI KEKALKAN BUTANG FIZIKAL – SKRIN SENTUH BAHAYAKAN KESELAMATAN

Ketika pengeluar lain berlumba-lumba memuatkan teknologi terkini seperti skrin sentuh ke dalam kenderaan keluaran mereka, Ketua Reka Bentuk Hyundai, Sang Yup Lee bagaimanapun mendedahkan bahawa Hyundai berjanji mengekalkan butang fizikal untuk produk akan datang.

Skrin serta kawalan sentuh sememangnya menawarkan tarikan tertentu kepada pembuat kereta. Ini kerana ia membolehkan pelbagai fungsi disepadukan sekali gus, selain produksinya lebih murah berbanding butang fizikal.

Namun, sejak dekad lalu, orang ramai mula bosan dengan pembaharuan tersebut. Salah satu sebabnya adalah kerana ia kurang praktikal dan responsif.

Menurut Lee, skrin sentuh mahu pun butang digital boleh membahayakan keselamatan pengguna.

“Semasa anda memandu, sukar untuk mengawal butang digital tetapi menerusi butang fizikal, ia lebih mudah digunakan. Bagi saya, butang berkaitan keselamatan perlu menggunakan butang fizikal,” kata Lee.

Lee turut tidak menolak sebarang perubahan di masa hadapan khususnya apabila pemanduan autonomi menjadi arus perdana.

“Bercakap tentang pemanduan autonomi Tahap 4, kami perlu beralih kepada trend bersesuaian dengan kenderaan tersebut, sekiranya ia memerlukan butang digital, maka Hyundai akan laksanakannya,” jelas Lee.

Google ads
Back to top button