
HYUNDAI PALISADE BAKAL MENDARAT DI PASARAN INDONESIA – TANPA VERSI DIESEL, ANGGARAN HARGA BERMULA RM141K
PT Hyundai Motors Indonesia (HMID) bersiap untuk memperkenalkan Hyundai Palisade Hybrid ke pasaran Indonesia.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari pendaftaran di Samsat PKB, lima varian Palisade Hybrid telah didaftarkan.
Harga Dasar Kendaraan Bermotor yang tercatat untuk model ini berada dalam julat Rp 472 juta hingga Rp 530 juta (RM141,600 hingga RM159,000).

Hyundai Palisade Hybrid generasi baharu ini pertama kali dilancarkan di Korea Selatan pada awal Disember 2024.
Reka bentuknya tampil lebih boxy dan agresif berbanding generasi sebelumnya, mencerminkan arah reka bentuk baharu Hyundai.
Lebih menarik lagi, Palisade Hybrid untuk pasaran Indonesia tidak menawarkan varian diesel. Langkah ini mencerminkan strategi serupa yang dilakukan Hyundai untuk model Santa Fe generasi baharu, di mana varian diesel turut ditiadakan.
Palisade Hybrid hanya akan hadir dalam dua pilihan enjin, iaitu:
- 2.5L Turbo Konvensional – menghasilkan kuasa 277.1hp dan tork 421.6Nm.
- 2.5L Turbo Hybrid – gabungan enjin konvensional dan motor elektrik dengan keluaran tenaga gabungan 329.4hp.
Sekiranya model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, harga jualannya dijangka lebih tinggi.
Sebagai perbandingan, Hyundai Palisade generasi sebelumnya ditawarkan dalam lima varian dengan harga bermula dari Rp 900 juta hingga Rp 1.2 miliar (RM270,000 hingga RM360,000).
Namun, jika Hyundai mengambil langkah untuk memulakan pemasangan tempatan, ia bukan sahaja berpotensi mengurangkan kos tetapi juga melayakkan Palisade Hybrid menerima insentif.
Sekiranya dilancarkan, Hyundai Palisade Hybrid bakal menjadi model hibrid ketiga dalam barisan produk Hyundai di Indonesia.