Buletin

HYUNDAI PALISADE FACELIFT 2023. REKAAN LEBIH GARANG, RUANG KABIN MEWAH

Hyundai baru sahaja memperkenalkan Palisade versi facelift pada acara New York International Auto Show. SUV tiga baris tempat duduk itu tampil dengan bahasa rekaan terbaharu Hyundai. 

Perubahan paling ketara pastinya gril trapezoid yang kini diganti dengan rekaan gril berwarna krom lebih lebar dan menegak. Corak berkotak dan bampar rekaan baharu memberikannya rupa yang lebih agresif. Lampu utama yang menegak itu masih di posisi sama. Ia dilengkapkan lagi dengan sepasang lampu nyalaan siang LED yang terpisah pada bahagian atas dan bawah bampar. 

Sekali pandang, bahagian belakang seakan-akan tiada perubahan. Ia masih menggunakan lampu LED yang sama seperti sebelumnya.

Apa yang berbeza hanyalah bampar dengan posisi lampu kecil lebih ke bawah. SUV itu menerima rim 20 inci dengan rekaan baharu dan cermin sisi yang akan malap secara automatik. Warna hijau baharu iaitu “Robust Emerald” turut ditawarkan.

Ruang kabin menerima penambahbaikan melibatkan aspek reka bentuk dan teknologi yang sudah digunakan sejak Palisade diperkenalkan pada tahun 2018. Antaranya skrin infohibur baharu bersaiz 12 inci (sebelum ini 10.25 inci), tempat duduk yang telah ditambah baik dan teknologi bantuan pemandu. 

Corong pendingin hawa yang merentangi papan pemuka kini lebih nipis. Stereng tiga jejari pula diganti dengan empat jejari yang dilengkapi butang kawalan pada sebelah kiri dan kanannya. 

Pemandu ditawarkan dengan tempat duduk ‘Ergo” yang diambil daripada model lebih mewah, Genesis. Ia menggunakan kebuk udara yang boleh dikembungkan untuk memberi lebih keselesaan dan mengurangkan kepenatan.

Tempat duduk baris ketiga mempunyai ciri pemanas. Manakala kerusi baris kedua diberi pilihan ciri ventilasi, perehat tangan boleh laras dan perehat kepala yang lebih selesa. 

Ciri-ciri lain yang ditambah baik termasuklah spesifikasi pengecasan tanpa wayar dinaik taraf daripada 5 watt kepada 15 watt. Manakala port USB-A diganti dengan USB-C bersama aliran kuasa 3 amps yang lebih laju. 

Ciri hotspot Wifi yang pertama diperkenalkan oleh Hyundai boleh disambungkan dengan Digital Key 2. Ia membolehkan telefon pintar iPhone, Apple Watch dan Samsung Galaxy untuk membuka serta menghidupkan enjin Palisade. Perkhidmatan Enhanced Bluelink pula membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi menerusi suara. 

Dari segi keselamatan, Palisade ditambah dengan ciri Enhanced Forward Collision Avoidance, Highway Driving Assist dan Remote Smart Parking yang membantu pemandu mengeluarkan atau memarkir Palisade ruang parkir yang sempit dari jarak jauh.

Rangkaian kuasa Palisade 2023 bagaimanapun tidak berubah iaitu enjin V6 3.8 liter Atkinson Cycle berkuasa 291hp dan tork 355Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan bersama pacuan dua atau empat roda HTRAC.  

Di Malaysia, Palisade ditawarkan oleh Hyundai Sime Darby dengan pilihan enjin V8 3.8 liter dan enjin diesel 2.2 liter pada harga bermula RM329,000 seunit.  

GALERI

Google ads
Back to top button