
“IA BUKAN HAK SAYA” PMX AKAN PULANGKAN KENDERAAN EV HADIAH ERDOGAN KEPADA NEGARA
“Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepadanya.
Kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat menggunakan kenderaan berkenaan meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye itu sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.
“Semalam, saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye…beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya.

Anwar berkata, ketika dalam perjalanan ke Kompleks Sri Perdana kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, beliau melihat puluhan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, polis dan bahagian pendidikan sedang bertugas mempersiapkan lawatan rasmi Presiden Turkiye.
Justeru, beliau amat menghargai segala kerja-keras dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus mempersiapkan sambutan berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi Asean untuk membuktikan kecekapan penjawat awam dalam mengurus ratusan program secara berkesan.
Katanya, pengurusan Asean bukan hanya mengenai kedudukan atau kebanggaan, sebaliknya mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa. Tahap persiapan kita bagi acara itu di antara yang terbaik yang saya saksikan.
“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecekapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya. – Harian Metro
- BACA: REVOLUSI AI DALAM AUTOMOTIF: GEELY DAN VOYAH TERAJUI INTEGRASI DEEPSEEK
- BACA: KANAK-KANAK BERDEPAN TUNTUTAN LEBIH RM173K AKIBAT MERCUN, MUSNAHKAN 8 KERETA MEWAH
- BACA: UMW TOYOTA MOTOR CATAT JUALAN 5,383 UNIT PADA JANUARI 2025
- BACA: KESTURI SOKONG PELUASAN LARANGAN KENDERAAN BERAT PADA WAKTU PUNCAK DI LEBUHRAYA DUKE