
INDUSTRI TAYAR AMERIKA TERJEJAS AKIBAT IMPORT DARI KOREA, TAIWAN, THAILAND DAN VIETNAM
Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (ITC) baru-baru ini mendedahkan bahawa pengeluar tayar Amerika terjejas akibat import produk itu dari Korea, Taiwan dan Thailand.
ITC turut mendapati tayar kenderaan penumpang bersubsidi dari Vietnam memberi kesan kepada firma tempatan. Hasilnya, Jabatan Perdagangan AS bakal mengeluarkan arahan duti anti-lambakan ke atas pengimportan tayar dari negara-negara terbabit untuk kegunaan kenderaan penumpang serta trak ringan.
Tahun lalu, Jabatan Perdagangan membuka kertas siasatan ke atas aktiviti pengimportan tayar kenderaan dari Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam selepas menerima petisyen daripada USW yang mewakili pekerja kilang tayar di AS.
USW berterima kasih ke atas ITC kerana berusaha memastikan pasaran tayar AS tidak dikuasai oleh produk asing. Ini kerana kebanjiran tayar dari negara asing itu menyebabkan pekerja tempatan hilang punca pendapatan, selain perkongsian pasaran yang kian mengecil.
Pada tahun 2015, kesatuan itu berjaya mendapat arahan menghalang pengimportan tayar dari China dan membolehkan kilang tayar di AS kembali melabur.
USW mewakili pekerja kilang tayar Michelin, Goodyear, Cooper, Sumitomo dan Yokohama yang mana kilang-kilang jenama itu terletak di Ohio, Arkansas, North Carolina, Kansas, Indiana, Virginia, New York serta Alabama. – Reuters