
MITSUBISHI XPANDER CROSS DILANCARKAN DI INDONESIA. RM81K, BOLEH TERGUGAT RUSH NI…
Ketika pengguna di Malaysia masih mengharapkan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan model popular Mitsubishi Xpander di sini, rakyat Indonesia nampaknya lebih bertuah.
Ini kerana Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) telah melancarkan satu lagi varian Xpander yang lebih sporty, Xpander Cross.
Mengambil inspirasi rekaan gabungan SUV dan MPV, Xpander Cross bakal bersaing sengit dengan Toyota Rush, Honda BRV dan Daihatsu Terios di Indonesia.

Jualan Xpander Cross sudah dimulakan pada hari ini. Ia ditawarkan pada harga bermula 276 juta rupiah (RM81,311) untuk varian manual dan 277 juta rupiah (RM81,605) bagi versi automatik.
Model itu dibezakan dengan Xpander standard menerusi bampar hadapan baharu, gril berwarna hitam, roof rails, lampu utama, belakang dan lampu kabus LED serta skid plate. Tidak ketinggalan arca roda berwarna hitam, rekaan rim baharu bersaiz 17 inci dan profail tayar lebih besar.
Untuk menjadikannya sebuah crossover, jentera itu menawarkan kelegaan tanah 25mm lebih tinggi dan badan 50mm lebih lebar berbanding Xpander biasa.

Bahagian dalam Xpander Cross menggunakan tona hitam dengan varian tertinggi didatangkan bersama skema warna hitam-coklat. Ruang kabinnya cukup luas untuk membawa tujuh orang penumpang dengan selesa. Ruang kargo juga boleh ditingkatkan apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata.
Xpander Cross bagaimanapun masih menggunakan enjin sama iaitu 1.5 liter dengan pacuan roda hadapan.
Enjin berkuasa 105PS dan 141Nm tork itu dipadankan denga kotak gear automatik 4 kelajuan atau manual lima kelajuan. Aspek NVH juga telah dipertingkatkan dengan penggunaan material penyerap bunyi berprestasi tinggi.
Model itu didatangkan dengan dua warna baharu iaitu kelabu dan oren metalik. Ia dihasilkan di kilang Mitsubishi di Indonesia dan akan menjadi hab pengedaran ke pasaran ASEAN yang lain.

Xpander yang mula dipasarkan di Indonesia pada tahun 2017 itu nyata mendapat sambutan hangat di sana dengan menjadi model keempat terlaris Mitsubishi. Angka jualannya kini sudah mencecah lebih 104,000 unit.
“Dengan pelancaran Xpander Cross, kami akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan bersedia untuk jumlah eksport yang lebih tinggi.
“Kami juga komited untuk menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Indonesia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Corp., Takao Kato.