,
Artikel Pilihan

INILAH KERETA-KERETA YANG MENJADI SUMBER INSPIRASI ELON MUSK UNTUK TESLA CYBERTRUCK

Selepas pelancarannya, dunia automotif masih lagi terkesan dengan rekaan Tesla Cybertruck yang dikatakan mencetuskan revolusi baru dalam rekaan trak utiliti. Ada yang gemarkannya dan ada juga yang sebaliknya. Ada juga yang mula merancang untuk mengubahsuainya tapi dalam masa yang singkat, hampir 250,000 tempahan telah diterima oleh trak ini yang belum pun memasuki fasa pengeluaran.

Perkara paling menarik tentang trak ini tentunya ialah tentang rekaannya yang berbentuk wedge. Rekaan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru dan telah diperkenalkan sejak sekian lama. Cuma untuk sebuah trak rasanya ini kali yang pertama bentuk wedge ini diperkenalkan. Jadi kalau nak katakana bentuk ini sesuatu yang revolusionari pun rasanya tidak berapa tepat kerana banyak model sebelum ini dihasilkan dengan bentuk yang sama dan mungkin memberi inspirasi kepada Musk dalam mereka Cybertruck ini. Mari kita tengok senarai kereta yang mungkin menjadi sumber inspirasi beliau dalam rekaan.

Lotus Esprit

Elon Musk memang berterus terang tentang minatnya terhadap dunia filem khususnya yang bertema futuristic. Sebab itulah trak baru beliau ini juga mempunyai persamaan dengan supercar keluaran British, Lotus Esprit yang juga merupakan bintang dalam filem Blade Runner. Esprit dilancarkan pada tahun 1975 dan merupakan hasil rekaan Giighetto Giugiaro sewaktu bertugas di Italdesign.

Lotus Esprit Submarine

Disebabkan Lotus Esprit ini sangat bergaya satu ketika dahulu, ia juga Berjaya membintangi filem James Bond dalam tahun 1977. Ia merupakan salha sebuah kereta istimewa Bond yang boleh bertukar kepada sebuah kapl selam dan Musk sendiri mengakui yang beliau turut mengambil inspirasi dari kapal selam Lotus Esprit dalam menghasilkan Cybertruck. Musk turut memiliki Lotus Esprit yang digunakan dalam filem James Bond tersebut yang dibelinya pada tahun 2013.

DeLorean DMC-12

DeLorean DMC-12 boleh digambarkan sebagai sebuah projek yang gagal. Syarikat ini ditimpa pelbagai masalah baik dari segi pengurusan, kewangan dan para pekerja yang kurang berpengalaman. Boleh dikatakan projek ini menemui kegagalan dari segenap aspek tetapi kereta ini masih mampu menempa nama di layar perak sebagai sebuah kenderaan mesin merentas masa yang paling popular dan cool menerusi filem ‘Back to the Future’. Agak-agak kalau kereta keluaran tempatan, model mana yang paling sesuai dijadikan mesin merentas masa?

Dodge Maxx Concept

Sekitar tahun 2000 dulu, Dodge pernah menghasilkan pelbagai kereta yang menarik di atas jalan raya. Walaupun kualiti buatan pernah dipertikaikan tetapi rekaan mereka memang sangat menarik. Satu daripada model konsep mereka yang dinamakan Dodge Maxx Concept memang sangat menarik walauoun tidak pernah diproduksikan. Ia dipamerkan di Detroit Auto Show tahun 2000 dan Dodge menggelarnya sebagai Passenger Priority Truck.

Walaupun ia dihasilkan berdasarkan casis Dodge Dakota tetapi ia kelihatan sangat berbeza dengan rekaan cab yang dibawa ke hadapan dan ruang kargo yang lebih pendek. Walaupun tidak kelihatan radikal seperti Cybertruck tetapi ia juga Berjaya menimbulkan kemarahan para peminat trak tradisional.

Citicar

Citicar turut mempunyai persamaan lain dengan Cybertruck selain rupanya yang bersudut tajam. Ia juga dikuasakan menggunakan elektrik. Dihasilkan sekitar tahun 1974-77 oleh Sebring-Vanguard dari AS, ia merupakan kenderaan EV sepenuhnya. Dihasilkan ketika krisis bahan api melanda dunia, ia kemudiannya berjaya dijual dalam jumlah yang boleh dikatakan agak baik. 4,444 unit berjaya dijual sehingga tahun 1979.

Lamborghini Countach

Sudah tentu Countach akan tersenarai jika ia melibatkan kenderaan dengan imej futuristik. Supercar ikonik Itali hasil rekaan Marcello Gandini memang kelihatan sangat futuristik walaupun dilancarkan pada tahun 1974. Enjin V12 dan pintu bukaan atas memang tidak pernah membosankan untuk dipandang.

Citroen Karin Concept

Pengeluar dari Perancis ini memang suka membuat rekaan pelik-pelik kan? Ini merupakan model konsep mereka yang bernama Karin dan sekali lihat memang macam kereta dari siri kartun The Jetson. Tak pernah dengar? Sah la korang memang budak wicet. Bayangkan bumbung kaca ala kokpit pesawat pejuang melindungi kepala anda. Kalau kemalangan memang tak ada ampun punyalah.

Porsche Tapiro

Percayalah ini memang nama yang diberikan oleh Porsche dan bukannya sejenis haiwan di Zoo Negara. Ia mungkin hasil eksperimen Porsche dengan bentuk wedge dan dipamerkan buat pertama kalinya di Turin Auto Show 1970. Diasaskan daripada model 914/6 dan menggunakan enjin flat-six 220hp. Selain kelihatan unik, Tapiro juga sebenarnya merupakan hasil rekaan wedge sulung Italdesign. Perekanya sudah tentu Giurgiaro, siapa lagi kan?

BMW M1

Siapa boleh lupa dengan M1? Model asal kereta-kereta M dan langsung tidak kelihatan seperti sebuah BMW. Ia juga hasil rekaan Italdesign dan dipasarkan sekitar tahun 1978-81. Ia dihasilkan pada masa yang sama dengan DeLorean jadi tidak mustahil kenapa keduanya mempunyai beberapa persamaan dari segi gaya.

Ferrari 308 GT4

Juga dikenali dengan nama Dino 308 GT4, Ferrari 308 GT4 didedahkan buat pertama kali pada tahun 1973 dan dilabelkan dengan nama Dino sehingga tahun 1976. Ia merupakan model mid-engine pertama Ferrari dengan enjin V8 dan direka oleh Bertone. Biasanya mereka menggunakan khidmat Pininfarina tetapi kali ini mereka mencari kelainan dan beralih kepada Bertone.

Lancia Stratos

Pernah di labelkan sebagai kereta paling ‘sejuk’ sepanjang zaman, Lancia Strats memang cukup bergaya di jalan raya dan dalam perlumbaan rali. Ia juga hasil rekaan Marcello Gandini dan sama seperti Ferrari, Lancia turut menyerahkan projek ini kepada Bertone walaupun sebelum ini mereka banyak bekerjasama dengan Pininfarina. Hanya 492 unit dihasilkan dan Stratos terus menjelma sebagai sebuah kereta paling ikonik dalam sejarah.

Kredit kepada Carbuzz.com

Tags
Google ads
Back to top button