Artikel Pilihan

INILAH “SAFETY CAR” TERBAIK YANG PERNAH DIGUNAKAN DALAM GRAND PRIX F1

APA ITU SAFETY CAR?

Safety Car atau Kereta Keselamatan mula diperkenalkan dalam perlumbaan F1 pada tahun 1973 berikutan kerapnya berlaku kemalangan dalam perlumbaan ini. Safety Car akan mula beraksi dalam trek bila pengarah perlumbaan mahu memperlahankan kelajuan perlumbaan atas sebab keselamatan seperti selepas berlakunya kemalangan ataupun terdapat limpahan air di atas litar selepas hujan turun.

Mengikut peraturan F1, Safety Car ataupun Kereta Keselamatan akan memasuki litar jika berlaku terhadap sebarang bahaya tetapi tidak memerlukan perlumbaan dihentikan sepenuhnya.

Kereta ini akan berada dalam keadaan siap sedia sepanjang perlumbaan dan bersedia beraksi sebaik diarahkan oleh bahagian Kawalan Perlumbaan. Ia dilengkapi dengan sistem komunikasi dan paparan video termaju untuk membolehkan ia berhubung dengan bilik kawalan dan Pengarah Perlumbaan.

BACA: BERAPAKAH KOS SEBUAH KERETA F1?

BACA: 10 PEMANDU F1 TERBAIK SEPANJANG ZAMAN

Sebaik memasuki litar, pelumba tidak lagi dibenarkan memotong dan mesti mengekalkan posisi masing-masing di belakang Safety Car. Perlumbaan hanya akan diteruskan selepas Safety Car meninggalkan litar.

Apakah model kereta yang digunakan oleh perlumbaan F1? Adakah ia sama dengan kenderaan marsyal yang mengiringi konvoi Myvi yang lengkap dengan lampu pandu arah dan siren buatan China yang sibuk menyuruh pengguna jalan raya lain ke tepi?

Berikut kami senaraikan sepuluh Safety Car F1 yang paling ‘cool’ dan menarik.

1. PORSCHE 914 (SAFETY CAR F1 YANG PERTAMA)

Ia mula diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1973 di perlumbaan Grand Prix Kanada. Menariknya ia terpaksa digunakan atas sebab keselamatan kerana dalam perlumbaan tersebut seorang pelumba pasukan persendirian, Eppie Wietzes telah memasuki litar perlumbaan dalam posisi yang salah menyebabkan ramai perlumba yang terpaksa meneruskan perlumbaan di atas padang rumput untuk mengelak dari berlanggar.

Selain daripada itu, Safety Car ketika itu juga gagal memintas pendahulu perlumbaan menyebabkan ramai pelumba mendapat keuntungan satu pusingan. Haru betul.

2. LAMBORGHINI COUNTACH

Ini merupakan Safety Car yang paling menarik dalam sejarah F1. Ia digunakan beberapa kali pada perlumbaan di F1 di litar paling menarik di dunia ketika itu. Di mana lokasi? Semestinya di litar Monaco yang serba glamor sehingga ke hari ini.

Lamborghini Countach V12 telah menetapkan standard baharu bagi Safety Car sehingga ke hari ini. Tidak pernah ada Safety Car lain sehebatnya sehingga ke hari ini.

3. FORD ESCORT RS COSWORTH

Ia merupakan model seterusnya dipilih sebagai Safety Car selepas Porsche 914 dan diperkenalkan ke F1 buat pertama kalinya pada tahun 1993 di Grand Prix British.

Asalnya Escort RS ini merupakan sebuah jentera rali yang kemudiannya terpilih beraksi di litar F1, sebagai Safety Car.

4. VAUXHALL VECTRA 4X4

Inilah Safety Car yang dengan profil paling rendah dan langsung tidak glamor. Bagaimanapun ia mempunyai kuasa maksima 200bhp dan dilengkapi dengan sistem pacuan-empat-roda.

Sedihnya, ia diingati sebagai Safety Car yang terlibat dalam insiden buruk di Imola pada tahun 1994. Ia berikutan kemalangan yang melibatkan kematian pelumba Austria, Roland Ratzenberger dan pelumba lagenda F1, Ayrton Senna.

Bagaimanapun, kedua kemalangan ini langsung tidak berkaitan dan berlaku secara berasingan.

5. TATRA 623 (SAFETY CAR YANG TIDAK SELAMAT)

Safety Car ini digunakan di perlumbaan F1 di negara-negara Eropah Timur. Juga merupakan sebuah model yang tercatat di dalam sejarah F1 kerana telah terlibat dalam perlanggaran dengan kereta lumba F1.

Ia berlaku ketika para petugas sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran di sebuah kereta lumba yang terbakar sewaktu perlumbaan Grand Prix Hungary 1994. Pelumba F1 dari Jepun, Taki Inoue telah terlanggar Tatra 623 sehingga rosak teruk.

6. PORSCHE 993 GT2

Mempunyai reputasi menyamai Lamborghini Countach, GT2 ini merupakan sebuah lagi super-Safety Car. Ia juga dilihat beraksi dalam GP Belgium yang menyaksikan perlumbaan sengit untuk merebut tempat pertama antara Michael Schumacher dan Damon Hill.

7. RENAULT CLIO WILLIAMS (SAFETY CAR PALING LAMA BERKHIDMAT)

Insiden melibatkan Renault Clio Wiliams paling diingati ialah bila ia terpaksa dimasukkan ke litar berikutan kemalangan yang melibatkan Luca Badoer sewaktu GP Argentina 1996.

Safety Car Renault ini terpaksa berada di litar selama hampir sepuluh minit kerana berlaku pula insisden kebakaran melibatkan Pedro Diniz, seorang lagi pelumba selepas itu.

8. ERA MERCEDES-BENZ

Mercedes muncul sebagai pembekal rasmi Safety Car untuk perlumbaan F1 sejak tahun 1997. Safety Car Mercedes yang paling diingati semestinya ialah model SLS dengan pintu gull-wing yang beraksi selama lima musin dari tahun 2010 hingga 2014.

9. C32 AMG (MANGSA KEMALANGAN AKIBAT DILANGGAR NICK HEIDFELD)

Ia bukannya sebuah Safety Car tetapi merupakan kenderaan sokongan perubatan F1. C32 AMG paling diingati kerana telah dilanggar oleh kereta lumba Sauber Nick Heidfeld pada GP Brazil 2002.

Untuk rekod, Mercedes juga sudah membekalkan ambulans dan kenderaan perubatan untuk F1 selama hampir 20 tahun.

10. MERCEDES AMG-GT S (SAFETY CAR TERKINI)

Diperkenalkan buat pertama kali dua tahun lepas dalam perlumbaan GP Australia menggantikan Mercedes SLS. Ia menggunakan enjin 4.0-liter V8 sama seperti model jalanan biasa tetapi dengan kelengkapan lampu pandu arah berwarna oren di bahagian bumbung selain stiker rasmi dan peralatan komunikasi dan audio video canggih untuk mengawasi keseluruhan perlumbaan.

SUMBER CARMAG UK

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button