
JENAMA JEPUN TAK LAKU DI CHINA – PELANGGAN LEBIH BERMINAT MODEL EV JENAMA CHINA
Laporan baru-baru ini menyatakan bahawa pembuat kereta Jepun sedang menghadapi krisis jualan di China kerana peralihan pantas kebanyakan jenama kepada kenderaan elektrik (EV).
Untuk rekod, jualan jenama kereta Jepun di China turun sebanyak 32 peratus (tahun ke tahun) pada suku pertama.
Turut terkesan di pasaran China ialah Volkswagen namun ia tidaklah seteruk pembuat kereta dari Jepun. Perkara itu disebabkan jenama Jepun hanya memiliki model terhad bagi segmen hibrid elektrik atau plug-in.

Mitsubishi Motors mengeluarkan kenyataan minggu lalu bahawa mereka menggantung pengeluaran SUV Outlander di China selama tiga bulan dan mengenakan caj sebanyak AS$77 juta (RM342 juta) untuk memperlahankan jualan.
Perkembangan berkaitan, Nissan Sylphy, sedan terlaris di China, terpaksa menelan hakikat pahit, apabila kedudukan itu dirampas oleh BYD Song hibrid plug-in.
“Jepun adalah yang paling rugi dalam perang harga setakat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Automobility, Bill Russo.
“Memandangkan EV menjadi lebih mampu milik, ia berjaya menarik perhatian pelanggan di China untuk membeli jenama China dan menolak jenama asing,”
Walau bagaimanapun, satu lagi pengeluar Jepun, Toyota, sedia memberi fokus kepada pasaran kenderaan elektrik untuk kekal bersaing.
“Kami perlu meningkatkan kelajuan dan usaha kami untuk memenuhi jangkaan pelanggan di pasaran China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Koji Sato.