
JOKOWI YAKIN TESLA AKAN MELABUR DI INDONESIA. TAWAR PENGECUALIAN CUKAI, KONSESI MELOMBONG NIKEL
Presiden Indonesia, Joko Widodo yakin Tesla akan memuktamadkan perjanjian untuk melabur dalam kemudahan pengeluaran di Indonesia.
Indonesia juga menawarkan insentif kepada pembuat kereta Amerika Syarikat itu seperti pengecualian cukai dan konsesi untuk melombong nikel.
“Saya berkata kepadanya jika anda melabur di Indonesia, saya akan memberikan konsesi nikel,” kata Jokowi.

Insentif lain termasuklah pengecualian cukai dan skim subsidi ke atas pembelian EV untuk membina pasaran Tesla di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu.
Tambah Jokowi, beliau yakin Indonesia mempunyai kelebihan berbanding negara lain kerana ia mempunyai rizab nikel terbesar dan pasaran domestik yang luas.
Jokowi berkata, terpulang kepada Tesla untuk menerima atau tidak berhubung tawaran melombong nikel. Indonesia terbuka kepada pelaburan dalam rantaian bekalan bateri dan kereta elektrik EV.
“Jika mereka mahu bermula dari bateri EV, tidak mengapa,” tambahnya.
Tesla sedang mencari hab pembuatan tambahan di mana syarikat itu pada masa ini mengeluarkan EV di empat lokasi iaitu Fremont, California, Shanghai, Austin, Texas dan Berlin.
Selain Indonesia, Korea Selatan, Kanada dan Mexico turut bersaing untuk memastikan Tesla melabur dalam pembuatan di negara mereka.
Penganalisis menganggarkan bahawa Tesla perlu membina tujuh atau lapan lagi “gigafactory” untuk memenuhi sasaran Elon Musk, menjual 20 juta kenderaan elektrik menjelang 2030.
Tetapi, sekiranya Tesla bersetuju untuk melabur dalam pengeluaran bateri di Indonesia, ia akan menjadi kemudahan pertama seumpamanya di Asia.
Sebelum ini, syarikat Hyundai Motor dan LG Energy Solution Korea Selatan telah melabur di Indonesia dengan membina kemudahan untuk pembuatan EV serta bateri. – Free Malaysia Today
- BACA: BYD DAN TESLA BAKAL MELABUR DI INDONESIA – MANFAATKAN SUMBER NIKEL
- BACA: CARSOME JALIN KERJASAMA DENGAN ELECTRUM INDONESIA – SOKONG INDONESIA SEBAGAI PENERAJU EV
- BACA: BRITISHVOLT SEDIA MELABUR RM752 JUTA UNTUK EKOSISTEM EV DI INDONESIA
- BACA: CITROEN LEBAR SAYAP KE PASARAN INDONESIA, PENGELUAR DARI EROPAH MULA BUKA MATA








