Motosikal

BMW F 850 GS 40 YEARS GS EDITION. UNIT TERHAD, RM85.5K

BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW F 850 GS 40 Years GS Edition. Ia sebagai penghormatan terhadap kepuasan tunggangan premium yang dibawakan oleh model GS selama 40 tahun.

BMW F 850 GS 40 Years GS Edition hadir dengan pakej Comfort, Touring, Dynamic dan Active sebagai ciri standard. Selain pelbagai kelengkapan untuk mereka yang gemar menjelajah dengan motosikal.

Varian GS bersaiz sederhana itu dilekatkan dengan pelekat 40 Years GS pada panel sisi. Reka bentuk dan elemen warna kuning hitam membuatkannya lebih menonjol.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan rekaan muncung tajam serta sepasang lampu LED tidak simetrikal. Tidak ketinggalan, lampu DRL yang dipadankan bersama lampu isyarat membelok LED.

Jentera tersebut ditawarkan dengan pelbagai ciri standard seperti rim lidi berwarna emas, penutup radioator dan banyak lagi. Bahagian belakang pula dipasang dengan rak untuk meletak kotak barangan.  

Ia masih menggunakan enjin dua silinder dengan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api bersesaran 853cc. Enjin berkuasa 95hp dan tork 92Nm itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.     

BMW F 850 GS 40 Years GS Edition baharu turut dilengkapi ciri Kawalan Cengkaman Dinamik dan Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik terkini untuk memberikan prestasi tunggangan terbaik di semua permukaan jalan.

Riding Modes Pro pula menawarkan Kawalan Brek Enjin Dinamik dan Shift Assistant Pro. Di samping empat mod tunggangan yang boleh diakses melalui bar hendal sebelah kanan.

Panel instrumen memaparkan pelbagai informasi menerusi skrin TFT 6.5 inci yang dapat dilihat dengan jelas walaupun dalam kondisi cahaya yang mencabar. Fungsi ketersambungan juga ditawarkan sebagai standard.

BMW F 850 GS “40 Years GS Edition sudah berada di semua bilik pameran sah BMW Motorrad bermula 10 Februari 2021.

Harga sebuah BMW F 850 GS “40 Years GS Edition ialah RM85,500.

Dengan ‘Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, jentera itu boleh dimiliki pada harga RM1,040 sebulan. Ia berdasarkan anggaran balloon financing bagi pinjaman berjumlah 80 peratus untuk tempoh 4 tahun.

GALERI

Google ads
Back to top button