Motosikal

KAWASAKI EROPAH PERKENAL SKIM WARNA & GRAFIK BAHARU UNTUK JENTERA TAHUN 2018

Tanpa disedari, kita kini sudah memasuki suku keempat tahun 2017. Bagi merancakkan penawaran terbaharu kepada pelanggan, pemain dalam industri automotif dilihat mula memperkenalkan model-model yang akan dipasarkan pada tahun depan.

Misalnya, Kawasaki Eropah baru-baru ini mendedahkan rangkaian warna dan grafik baru untuk jentera model tahun 2018.

Segmen supersport akan menyaksikan perubahan kecil atau asas. Model supercharged seperti Ninja H2R dan Ninja H2 Carbon akan hadir dalam warna hitam berkilat (coated spark black) dan hitam matte.

Model Ninja 650 KRT edition dan Ninja ZX-10R KRT Replica turut diberi penambahbaikan dengan grafik yang diinspirasikan daripada superbike KRT.

Ninja 650 KRT edition tampil dengan warna hijau hitam. Manakala Ninja ZX-10R KRT Replica menyerlah dengan warna hijau hitam dan kelabu metalik.

Kawasaki ZZR1400 dan ZZR1400 Performance Sport pula mendapat warna kelabu karbon metalik dan hijau zamrud. Jentera Z1000 R Edition kini dilengkapi lampu isyarat membelok yang baru serta warna kelabu karbon matte. Versys 1000 akan hadir dalam warna hitam metalik, merah dan hijau metalik.

Ada tiga warna baru ditawarkan untuk skuter J300 dan dua warna bagi J125. Warna putih, hitam dan dan kelabu pada skuter tersebut diserlahkan lagi dengan grafik terkini.

“Sekarang adalah tempoh yang sangat sibuk di kilang Kawasaki. Kami bukan sahaja sedang bersedia untuk mendedahkan model-model baharu. Malah maklum balas pelanggan dan pengedar membuatkan kami perlu menawarkan warna baru pada model sedia ada,” kata Pengarah Kawasaki Motors Europe, Morihiro Ikoma.

Google ads
Back to top button