Motosikal

KENAPA KILANG MOTOSIKAL BAHARU SUZUKI DI HAMAMATSU SANGAT PENTING? INI JAWAPANNYA…

Suzuki Motor Corp baru-baru ini mengumumkan bahawa sebuah kilang baharu di Hamamatsu, Jepun yang mula dibina pada tahun 2014 kini sudah hampir siap.

Kilang itu akan menggabungkan aspek kejuruteraan, produksi enjin dan pemasangan kenderaan ke dalam satu kemudahan. Ia dilihat dapat melancarkan lagi operasi, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos produksi motosikal yang dihasilkan di Jepun.

Memiliki keluasan 40 ekar, kilang baharu itu memang cukup besar. Menjadi sebahagian daripada pelan pengukuhan bagi tempoh lima tahun, kilang tersebut akan menggantikan kemudahan kejuruteraan dan pembangunan di Ryuyo, sebuah kilang produksi enjin di Takatsuka dan satu saluran pemasangan motosikal di Toyokawa.

Lebih menarik lagi, kilang itu akan bertanggungjawab menghasilkan majoriti motosikal yang dipasarkan ke Amerika Syarikat. Jadi kenapa ia begitu penting?

Pertama, kilang itu membuktikan komitmen Suzuki terhadap industri motosikal. Ini kerana tidak ada jenama Jepun yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi berbanding Suzuki yang menyaksikannya terpaksa menutup beberapa kemudahan produksi.

Akibatnya, rangkaian model baharu Suzuki tidak berkembang. Malah pelaburan untuk pemasaran dan penyertaan dalam banyak perlumbaan motosikal terpaksa dipotong dengan signifikan.

Justeru, ramai yang meramalkan Suzuki tidak mampu bangkit daripada kemelesetan ekonomi dan akhirnya keluar daripada industri motosikal.

Modal dan sumber pelaburan yang diperlukan ke atas kilang baharu itu membuktikan bahawa khabar angin itu tidak betul. Selain menunjukkan kesungguhan Suzuki untuk menghasilkan motosikal lebih berkualiti untuk golongan massa.

Kedua, penggabungan tiga kilang menjadi satu dapat membantu Suzuki menghasilkan peralatan baharu untuk mencipta motosikal lebih moden. Seterusnya mampu bersaing dalam landskap industri motosikal yang mencabar terutamanya di Barat.

Kilang baharu itu juga membolehkan Suzuki mengurangkan penggunaan sumber untuk menghasilkan sesebuah motosikal. Langkah itu memungkinkan setiap motosikal menjana lebih banyak keuntungan kepada Suzuki.

Memandangkan Suzuki bakal memperkenalkan beberapa model baharu tidak lama lagi sepertu Hayabusa, GSX-R600, GSX-R750 dan Recursion supercharged, kilang baharu tersebut dilihat dapat membantu menghasilkan model-model ikonik pada masa depan.

Selamat maju jaya Suzuki!

Google ads
Back to top button