
KERAJAAN BERCADANG BAWA MASUK EV HARGA BAWAH RM100K. MOGA JADI KENYATAAN…
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu kerajaan bercadang untuk membawa masuk kenderaan elektrik di bawah harga RM100,000.
Cadangan itu bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida di negara ini.
“Sekarang kebanyakan EV masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas. Jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah,” katanya selepas melancarkan stesen pengecas EV Bangi Golf Resort.

Dalam pada masa yang sama, Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan bahawa cadangan tersebut bergantung bagaimana kerajaan dapat memainkan peranan bersama dengan syarikat-syarikat automotif.
Tambahnya lagi, kenderaan EV boleh dijual dengan harga lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini.
Sebelum ini, kerajaan telah menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.
Insentif tersebut selari dengan Dasar Automotif Nasional untuk memperkukuh ekosistem EV seperti pembuatan komponen kritikal, penetapan standard dan menggalakkan aktiviti pembangunan, penyelidikan, pengkomersialan serta inovasi untuk membangunkan lagi teknologi tempatan.
“Kerajaan sedang lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik, dan antara faktor penting adalah apabila Proton membawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat. Kalau kita dapat pasang kenderaan EV di Malaysia, mungkin ia dapat ditawarkan pada harga lebih rendah.” katanya lagi. – The Edge Markets
- BACA: THAMLEV PILIH MALAYSIA JADI HAB PENGELUARAN BASIKAL ELEKTRIK, LABUR RM100 JUTA
- BACA: MALAYSIA MOTOR EXPO 2022. SAKSIKAN MODEL TERBAHARU, KERETA MODIFIKASI DAN EV MAMPU MILIK!
- BACA: MITSUBISHI ASX 2023 DIPERKENALKAN. MIRIP RENAULT CAPTUR, ADA VARIAN PHEV. MASUK MALAYSIA NANTI?
- BACA: PM PELAWA TESLA HASILKAN EV DI MALAYSIA







