Buletin

KIA K5 BUAT AKSI LOMPATAN 360 DARJAH. BOLEH TAHAN KEMPEN PEMASARAN

Selepas dua bulan Kia mempamerkan aksi Triple Threat Stunt menggunakan tiga sedan K5, pengeluar kenderaan Korea Selatan sekali lagi menampilkan aksi lebih merbahaya.

Kali ini, jentera K5 melakukan aksi lebih mencabar dengan lompatan 360 darjah antara dua ramp. Biarpun, ketika mendarat agak kasar tetapi kereta dapat dikendalikan dengan baik sekali.

Dari luaran, model yang melakukan lompatan kelihatan seperti K5 biasa sahaja tetapi tidak memiliki kabin apabila dilucutkan dan diganti dengan tempat duduk serta sangkar perlumbaan.

Selain itu, kemungkinan besar beberapa pengubahsuaian telah dilakukan terhadap casis dan suspensi jentera ini agar dapat melakukan aksi dengan baik.

Kia berharap dengan video berkenaan, model sedan terbaharu ini dapat menarik perhatian sekali gus meningkatkan penjualan.

Video Triple Threat Stunt yang dikeluarkan pada bulan Ogos berjaya meraih sehingga 3.1 juta tontonan di YouTube dalam tempoh lima minggu.

Pengarah Operasi Pemasaran Kia Motors America, Russell Wager berkata model K5 ini merupakan jentera serba baharu dan memerlukan kempen pemasaran lebih dinamik dan penuh aksi bersesuaian dengan kereta terbabit.

Dua varian K5 ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat. Versi standard didatangkan bersama enjin 1.6 liter empat silinder yang mampu menjana 180 hp dan tork 264 Nm.

Bagi mereka inginkan jentera lebih berkuasa boleh mendapatkan K5 GT yang mendapat khidmat enjin 2.5 liter empat silinder dengan kuasa 290 hp dan tork 421 Nm.  – carscoops.

Google ads
Back to top button