
KILANG MOTOR SUZUKI DITUTUP: APA SEBENARNYA YANG BERLAKU?
Awal tahun ini kita diberitakan tentang pengunduran Suzuki Malaysia Automobile (SMA) dari pasaran Malaysia. Kereta-kereta Suzuki kini diambil alih oleh Proton menerusi rangkaian Proton Edar di kesemua 29 cawangannya di seluruh negara.
Berita ini mungkin kurang mendapat respon kerana kereta Suzuki, sejak dari zaman Lion Suzuki pun tidak sukses mana. Hanya Vitara, Jimny dan Swift sahaja. Model-model seperti ER-V dan Kizashi yang tak laku membuktikan kereta Suzuki susah nak cari makan di Malaysia.
Namun bila Suzuki Asemblers Malaysia Sdn Bhd, pengilang motosikal Suzuki didakwa menutup kilang pengeluarannya di Malaysia, seluruh peminat dunia automotif seakan tersentak. Mana mungkin sebuah jenama yang cukup utuh dalam dunia dua roda ini menghentikan terus operasi pengeluaran mereka? Di mana silapnya?
Kilang pemasangan Suzuki di Prai, Pulau Pinang telah dibuka pada tahun 1971. Sejak dari itu, Suzuki merupakan jenama yang kita kenali sangat dominan. Dari model GP100 atau dikenali dengan nama Jipang, sehingga pengenalan motor moped sejukan udara RC, kepada suzuki Best, Panther, Gamma, RG, RGV, RGX sehingga FXR150.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya status terkini motosikal Suzuki. Adakah Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers Malaysia) menutup operasinya terus 100 peratus?
Kami menghubungi Suzuki Assemblers Malaysia untuk mendapatkan jawapannya. Jawapan yang diterima adalah positif.
Mereka masih beroperasi seperti biasa tetapi sedang menyusun semula operasi yang terjejas akibat dari pemberhentian operasi pengeluaran mereka.
Buat masa ini, semua stok yang telah siap dipasang akan dijual seperti biasa di pengedar-pengedar sah mereka. Model CKD Suzuki yang masih dalam simpanan terdiri daripada Adress, Skydrive, Nex, Step125, Shogun Axelo, Smash dan Belang.
Suzuki Assemblers Malaysia tidak akan mengeluarkan motosikal berkapasiti kecil dalam masa terdekat. Segala perancangan mengenai model-model moped dan skuter juga tertakluk pada perbincangan yang masih berjalan dengan prinsipal mereka di Jepun.
Ditanya mengenai kemungkinan mereka mengimport model-model yang dipasang di Indonesia misalnya, juga tiada jawapan jelas yang diberikan.
Suzuki Assemblers Malaysia bagaimanapun berjanji akan terus membekalkan alat ganti dan menjamin bahawa jenama mereka akan mendapat khidmat selepas jualan seperti biasa. Logiknya, ini Suzuki, bukan Comel, bukan Moskito yang dijual 3-4 tahun kemudian melingkup. Ini jenama Jepun yang sangat berkredibiliti.
Mereka sekarang memberi fokus kepada motosikal berkuasa tinggi.
Sejak diperkenalkan pada 2014 ke pasaran tempatan, Hayabusa GSX1300RA, GSX1250FA, GSX-R1000 dan V-Strom 1000 mendapat sambutan baik di kalangan peminat jentera 2 roda. Mereka juga akan memperkenalkan model gantian Gladius SV650 dalam masa terdekat sebagai menambah varian sedia ada.
Kilang Suzuki di Prai, Pulau Pinang itu khusus memasang model keluaran domestik. Berbeza dengan negara jiran seperti Indonesia dan pasaran Asia terbesarnya di India, jenama suzuki di Malaysia terpaksa bergelut dengan pasaran yang cukup sengit.
Tahun 2015, prestasi mereka menurun hampir separuh dengan hanya produksi 8,000 unit motosikal berbanding tahun 2013.