Artikel Pilihan

KUASA ENJIN NISSAN VR38DETT

Nissan GT-R adalah projek berimpian tinggi daripada Keua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn yang menjadikan Porsche 911Turbo sebagai penanda arasnya.

2014 Nissan GT-R

Ia merupakan projek kereta yang amat unik dilakukan oleh Nissan, memandangkan mereka membina kereta (dan enjin) ini seolah-olah sebagai sebuah kereta lumba sejati. Tidak seperti pengeluar kereta sports terkemuka yang lain seperti Ferrari dan Porsche, Nissan dikenali sebagai pembuat kereta biasa. Namun, projek GT-R membuktikan mereka mampu membina kereta yang cukup luar biasa.

Apabila Nissan mahu memasarkan model GT-R ke pasaran dunia (model sebelumnya hanya dikeluarkan untuk pasaran Jepun dan eksport yang terhad), Nissan memikirkan bahawa mereka perlukan sebuah enjin yang serba baru. Ini bagi menggantikan enjin RB26DETT yang digunakan sejak tahun 1989.

2014 Nissan GT-R

Enjin baru ini tidak lagi tertakluk kepada ‘gentleman agreement’ yang menghadkan kuasa enjin kereta domestik Jepun kepada 280bhp sahaja. Enjin itu juga mesti mampu menewaskan seteru utama GT-R iaitu Porsche 911 Turbo yang dianggap sebagai kereta sports terbaik di dunia.

Pada masa sama, ia harus akur kepada piawaian emisi yang terkini. Satu permintaan yang cukup tinggi buat pasukan jurutera Nissan.

Nissan-GT-R-VR38DETT-mekanika (10)

Hasilnya pada tahun 2007, enjin VR38DETT pertama dikeluarkan dari kilang bersama Nissan GT-R yang terbaru. Tidak seperti enjin RB26DETT yang digantinya, enjin 6 silinder ini menggunakan konfigurasi silinder berbentuk V. Manakala enjin model RB26DETT ialah 6 silinder sebaris.

Secara asasya, saiz bore enjin ini ialah 95.5mm. Stroke enjin pula ialah 88.4mm yang memberikan jumlah sesaran sebanyak 3799cc (3.8 liter). Nisbah mampatan enjin ditetapkan pada tahap 9.0:1 dengan sistem aci sesondol berkembar dan 4 injap se-selinder untuk setiap blok.

2014 Nissan GT-R

Kepala silinder enjin itu juga didatangkan dengan teknologi ‘continuosly variable valve timing control system’ atau CVTCS untuk bahagian injap kemasukan.

Enjin tersebut menerima sepasang turbo buatan Ishikawajima-Harima Industry (IHI) yang membantunya menghasilkan kuasa mencecah 478bhp @ 6,400rpm dengan daya kilas sebanyak 588Nm @ 3,200rpm.

2014 Nissan GT-R

Untuk membantu enjin menampung kuasa yang begitu tinggi, pasukan jurutera Nissan telah memperkenalkan beberapa teknologi baru bagi memastikannya dapat berfungsi dengan optima pada setiap masa.

Pelapik bore enjin disalut dengan bahan plasma yang memberi perlindungan kepada ruang bore enjin daripada piston enjin yang bergerak pantas di dalam blok. Enjin itu turut didatangkan dengan teknologi ‘feedback control’ yang mampu mengubah nisbah campuran udara/bahan api mengikut beban enjin.

Nissan-GT-R-VR38DETT-mekanika (11)

Blok aluminium enjin itu menggunakan oil sump yang dibina daripada bahan magnesium yang cukup ringan. Sementara sistem pelinciran menggunakan sistem bertekanan tinggi yang dikawal suhunya menggunakan termostat.

Palam-palam pencucuh yang digunakan untuk enjin ialah jenis iridium. Dengan teknologi-teknologi terbaru yang digunakan, enjin berprestasi tinggi ini masih mampu dikategorikan sebagai enjin ‘Ultra Low Emission Vehicle’ atau ULEV oleh California Air Resources Board di Amerika Syarikat (AS).

Nissan-GT-R-VR38DETT-mekanika (9)

Untuk makluman, California ialah negeri yang paling tegas dalam melaksanakan  undang-undang pelepasan asap di AS. Dengan segala aksesori, enjin ini seberat 276kg.

Enjin hebat itu telah dinaik taraf dari segi penghasilan kuasa sebanyak dua kali sejak ia dilancarkan. Pada tahun 2010, kuasa enjin ditingkatkan kepada 523bhp @ 6,400rpm dengan daya kilas ditingkatkan menjadi 612Nm @ 3,200rpm.

2014 Nissan GT-R

Model enjin tahun 2012 menyaksikan kuasa enjin tersebut ditingkatkan sekali lagi. Kini ia mampu mencecah 542bhp @ 6,400rpm dengan daya kilas meningkat kepada 628Nm @ 3,200rpm. Enjin-enjin yang telah dipertingkat ini boleh dikenal melalui warna penutup enjin berwarna merah berbanding perak pada enjin generasi pertamanya.

Seperti enjin kereta lumba, enjin VR38DETT dipasang secara manual oleh jurutera terlatih di dalam bilik bersih khas. Enjin-enjin ini dipasang secara eksklusif di kilang Nissan di Tochigi.

Nissan-GT-R-VR38DETT-mekanika (12)

Setakat ini, enjin itu hanya digunakan pada model Nissan GT-R. Tetapi ia pernah digunakan untuk model istimewa Nissan seperti Juke-R dan model prototaip Infiniti Q50.

Ternyata sekali Nissan telah membina sebuah enjin yang cukup hebat. Tidak hairanlah enjin itu boleh ditala sehingga 2,000bhp untuk kegunaan di litar dan jalan raya.  Sememangnya, ia layak mendiami ruang jantung Godzilla.

Google ads
Back to top button