Buletin

LAMBORGHINI BAKAL LANCAR EV, MODEL SERBA BAHARU, 2+2

Bila sebut soal elektrifikasi barisan model, Lamborghini tidak lagi menoleh ke belakang, atau membuat pusingan U.

Syarikat pengeluar supercar dan hypercar itu ternyata jelas terhadap masa depan mereka, dan menerusi temubual bersama Autocar, CEO-nya Stephen Wikelmann turut memberikan bayangan EV pertama yang bakal dihasilkan kelak.

Menurut Winkelmann, kenderaan elektrik pertama Lamborghini akan menjadi sebuah model serba baharu, dan ia akan diposisikan dalam segmen yang telah diabaikan oleh pengeluar itu sejak berdekad – iaitu 2+2.

Kali terakhir Lamborghini menawarkan model 2+2 adalah pada era 70-an menerusi model Urraco.

Jelasnya lagi, EV pertama ini akan menjadi kereta yang lebih verstatil berbanding model Urus, dan ini akan memberikan lebih kebebasan buat para jurutera dan pereka Lamborghini.

Terdapat kemungkinan besar EV pertama Lamborghini akan menggunakan senibina Artemis yang turut digunakan untuk model-model seperti Audi A8 dan EV pertama Bentley.

Ini bermakna, ia mungkin akan mendapat konfigurasi motor elektrik berkembar, sistem pacuan semua roda, serta teknologi bateri terkini yang membolehkan pemanduan jarak jauh dibuat.

Namun, usah gembira terlebih dahulu kerana EV pertama Lamborghini dijangka akan tiba pada tahun 2027 atau 2028, dan sehingga ke saat itu, Lamborghini akan menawarkan barisan model hibrid dan plug-in hybrid, termasuk Urus facelift yang dijangka tiba pada tahun ini.

Sumber: Autocar

Google ads
Back to top button