Artikel Pilihan

LAMBORGHINI ESSENZA SVC12 830HP – LAJU-LAJU SANGAT NI NAK KE MANA

Ini merupakan bulan yang bertuah kepada semua peminat-peminat Lamborghini. Baharu sahaja melancarkan Lamborghini Sian Roadster beberapa minggu lepas dengan 819 hp kuasa dan rupa paras yang elegan dan kini Lamborghini kembali menggetarkan sanubari peminatnya dengan hypercar baharu mereka yang hanya boleh digunakan di atas litar.

Kenalkan Lamborghini Essenza SCV12 yang mungkin merupakan kereta yang menggunakan enjin V12 paling berkuasa di dunia untuk sebuah Lamborghini. Ia mampu menjana 830 hp kuasa maksima dan hanya 40 individu bertuah bakal berpeluang memilikinya. Ingat tak hensem tak apa janji ada Lamborghini sambung bayar.

Pengeluar menyatakan yang jentera terbaru mereka ini merupakan pewaris sebenar model Lambo terkenal satu ketika dahulu, Diablo GTR dan Miura Jota. Kotak gear X-Trac sequential 6- kelajuan digunakan dan kuasa dihantar ke roda belakang untuk pecutan pantas. Nisbah kuasa kepada berat yang ideal 1.66hp/kg dicapai dengan penggunaan casis monoque bahar yang semestinya diperbuat daripada serat karbon.

Bahagian belakang menampilkan penggunaan suspense push-rod yang memang diilhamkan daripada teknologi perlumbaan yang diposisikan di atas kotak gear. Sistem aerodinamik termaju memastikan 1200kg downforce dihasilkan pada kelakuan 250km/j dan ia melebihi jumlah downforce pada sebuah jentera perlumbaan GT3.

Tengok pada rupa parasnya pun kita dah tau ia memang tidak sesuai dipandu ke tempat-tempat awam. Kalau pergi mesti kecoh punya. Bahagian luaran menerima sentuhan Lamborghini Center Stile dan komponen badan mudah ditukar ganti semasa hentian pit. Garisan tajam dan bentuk heksagon banyak menjadi inspirasi kereta berkuasa ini.

Roda stereng lengkap dengan unit paparan sendiri dan segala jenis butang jelas seperti diambil dari sebuah jentera F1 sebenar. Tempat duduk OMP homologasi FIA memastikan pemandu terikat kemas di tempatnya sewaktu mengambil selekoh dan memecut laju.

Untuk menggalakkan bakal pemilik memandunya dan bukan mengurungnya di dalam rumah, mereka akan menikmati keahlian kelab eksklusif yang membolehkan mereka memandunya di litar-litar popular seluruh dunia. Kalau setakat beli sebab nak tayang kekayaan tapi tak pernah pandu keluar rumah baik tak payah.

Harga belum lagi diumumkan tapi mesti semua dah boleh agak. Ingat eksklusiviti tu mahal harganya.  

Google ads
Back to top button