Artikel Pilihan

LAMBORGHINI AVENTADOR SVJ ADALAH RAJA BARU NURBURGRING (+VIDEO)

Lamborghini berjanji untuk mendedahkan model Aventador SVJ terbaru di Monterey bulan depan tetapi sebelum itu mereka telah pun menunjukkan kehebatan sebenar model terbaru Sant’ Agata ini dengan memecahkan rekod kelajuan terpantas Nurburgring yang dipegang oleh Porsche dengan model 911 GT2 RS mereka. Dengan catatan masa 6:44:97, SVJ baru ini adalah 2 saat lebih laju dari GT2 RS (6:47:3).

Pemandu yang bertanggungjawab untuk menjinakkan lembu liar ini di litar yang disifatkan sebagai Neraka Hijau di Jerman ini ialah Marco Mapelli, pemandu penguji Lamborghini yang mengambil tempat Valentino Balboni (pemandu penguji paling terkenal di dunia). Balboni ni sebenarnya dah macam selebriti.

Untuk menjawab sebarang kritikan yang bakal diutarakan, Lamborghini menyatakan yang mereka telah merekod sesi ujian ini dengan video menggunakan sistem telemetri VBOX-Racelogic. Pirelli turut menyumbang kepakaran mereka selain membekalkan tayar P Zero Trofeo R yang bakal ditawarkan untuk SVJ selain P Zero Corsa standard.

Ini sebenarnya bukan kali pertama dua gergasi automotif ini saling bersaing untuk membuat catatan rekod terpantas di Nurburgring. Sebelum GT2 RS ini pun, rekod terpantas supercar produksi adalah kepunyaan Huracan Performante yang sebelumnya pun turut memecahkan rekod Porsche 918 Spyder. Eh, pengeluar lain memang tengok saja ke? Ke malas nak masuk campur?

BACA: GELARAN SUPERCAR PALING LAJU KINI MILIK PORSCHE 911 GT2 RS

Untuk menjayakan hasrat mereka, Lamborghini telah membangunkan enjin 12-selinder yang lebih berkuasa berbanding yang digunakan pada Aventador S dan Aventador SV. SV sebagaimana yang kita ketahui bermaksud Super Veloce (ataupun Super Fast). J pula ialah singkatan untuk Jota, nama yang digunakan secara eksklusif untuk beberapa Lamborghini paling ekstrim dari model Miura sehinggalah ke Diablo selain sebuah model one-off Aventador J Speedster pada tahun 2012.

 

Aventador SVJ ini juga turut menggunakan sistem aerodinamik-aktif generasi kedua yang dinamakan Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) yang mampu memberikan downforce sewaktu membelok dan mengurangkan rintangan sewaktu memecut pada garisan lurus. Kuasa maksima enjinnya belum didedahkan tetapi semestinya ia adalah lebih berkuasa berbanding Centenario (759 bhp).

Ia diberikan nama Jota sebagai memenuhi tradisi Lamborghini untuk kereta-kereta yang mempunyai kemampuan beraksi di atas litar lumba. Ia juga sebagai bukti bahawa Lamborghini mempunyai teknologi untuk menghasilkan kereta super sport yang boleh mengatasi kereta-kereta terbaik masa kini. Demikian kata Stefano Domenicali tentang Aventador SVJ terbaru ini.

Google ads
Back to top button