LAND ROVER DEFENDER WORKS V8 TROPHY. TERHAD 25 UNIT, BERMULA RM1.08 JUTA
Land Rover baru-baru ini memperkenalkan model Land Rover Defender Works V8 Trophy yang diinspirasikan daripada kemenangan dalam perlumbaan off-road Camel Trophy 4×4 pada tahun 1989.
Dibina di atas model Defender generasi terdahulu, jentera yang dihasilkan oleh pasukan di Land Rover Classic itu ditawarkan pada harga £195,000 (RM1.08 juta). Hanya 25 unit akan dibina oleh pengeluar kenderaan mewah dari Britain itu.
Jika model asalnya menggunakan enjin turbo diesel 2.5 liter, model itu sebaliknya dipasang dengan 5.0 liter V8 yang mampu menjana kuasa mencecah 399hp dan tork 515Nm.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan dengan nisbah gear tinggi dan rendah. Ia juga menggunakan pacuan semua roda sepanjang masa.
Bagi memberikan prestasi terbaik ketika mengharung laluan offroad, sistem suspensi telah dinaik taraf. Selain pemasangan bar anti-oleng, brek cakera bersaiz 355mm dengan angkup empat omboh di depan dan cakera 300mm di belakang.
Sementara rim besi tahan lasak bersaiz 16 inci dibalut dengan tayar jenis mud-terrain.
Untuk kos tambahan, pelanggan boleh memasang winch hadapan, rak bumbung, corong pengambilan udara snorkel dan lampu limpah LED. Pelindung bahagian bawah badan dan roll cage kabin turut ditawarkan oleh offroader tegar.
Penampilannya diserlahkan melalui warna kuning yang menjadi signatur Camel Trophy, bersama kemasan hitam pada bonet, arca roda dan pintu belakang.
Menjengah ke ruang kabin, pembeli dihidangkan dengan sepasang kerusi Recaro tang dibalut kulit berwarna hitam bersama jahitan benang kuning. Tidak ketinggalan, jam analog pada papan pemuka, sistem infohibur baharu dan logo Land Rover Trophy di beberapa tempat.
Pembeli terpilih juga akan dijemput untuk menghadiri sesi kelas pemanduan offroad di Eastnor Castle, Herefordshire bersama duta rasmi Land Rover, Jessica Hawkins.
- BACA: ITC AMERIKA SIASAT VW. DIDAKWA LANGGAR PATEN TEKNOLOGI TERRAIN RESPONSE MILIK JAGUAR LAND ROVER
- BACA: KEPUTUSAN MAHKAMAH TIDAK MEMIHAK KEPADA JAGUAR LAND ROVER – APA KES NI?
- BACA: LAND ROVER MAHU HALANG IMPORT SUV MEWAH KUMPULAN VW KE AS. DAKWA GUNA TEKNOLOGI TERRAIN RESPONSE TANPA LESEN
- BACA: JAGUAR LAND ROVER MENANG KES – KLON EVOQUE DIARAH HENTIKAN PRODUKSI SERTA-MERTA
GALERI