Buletin

MALAYSIA AUTO SHOW 2019: PROTON PERKENAL PERSONA DAN IRIZ 2019

Proton hari ini memperkenalkan model terbaharu Persona dan Iriz pada acaraPameran Malaysia Auto Show 2019 di Serdang, Selangor.

Kereta-kereta tersebut diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, diiringi Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.

Kedua-dua kereta itu menerima rekaan baru, hasil dari kerjasama antara kumpulan Reka Bentuk PROTON dan pereka-pereka dari studio reka bentuk Geely di seluruh dunia.

Ciri-ciri baru yang lain termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang telah dipadankan pada gril, bampar hadapan, belakang dan reka bentuk roda yang baru.

Di ruang kabin, Persona dan Iriz dipasang dengan unit stereo pintar (Premium 1.6AT). Ini merupakan ciri pertama dalam kelasnya menggunakan kad eSIM untuk memastikan ia mempunyai ketersambungan internet.

Turut ditawarkan aplikasi bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara yang  boleh diakses menerusi skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sehingga 16GB.

Pengguna telefon pintar Android juga dapat menikmati fungsi ‘mirroring’ melalui aplikasi sambungan yang mudah. Sekali gus membolehkan mereka mengakses data yang disimpan pada peranti mudah alih.

Bukan itu sahaja, pasukan jurutera PROTON telah membuat pelbagai penambahbaikan kepada kedua-dua model tersebut. Proton Iriz menerima sebanyak 367 penambahbaikan, manakala Proton Persona mendapat 303 penambahbaikan.

“Pasukan jurutera dan pereka bentuk PROTON telah bekerja keras selama 18 bulan untuk menambahbaik kedua-dua model ini. Kami yakin pengguna akan dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha mereka ini apabila mereka melangkah masuk ke dalam Persona dan Iriz 2019.

“Setakat ini, lebih 8,000 tempahan telah diterima dan kami percaya bahawa angka ini akan bertambah sebaik sahaja kereta tersebut mula dijual,” jelas Dr Li Chunrong.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button