Pandu Uji

MAZDA 3 1.5G LIFTBACK, JENTERA UNTUK BUAT ANDA PUAS

Adrenalin ini adalah salah satu hormon yang akan dihasilkan oleh badan kita sewaktu kita terlalu gembira, teruja atau berada dalam situasi kecemasan. Hormon ini akan menjadikan jantung berdegup lebih laju dan paru paru boleh buat kerja lagi efisyen.

Lebih banyak darah dengan oksigen dihantar ke otak, otot, tekanan darah akan meningkat dan kandungan gula dalam darah pun naik. Keadaan ini juga dipanggil sebagai adrenaline rush. Pendek kata, adrenalin bertindak seperti stimulant yang jadikan kita rasa bertenaga. Ada orang tengok movie pun boleh dapat adrenalin rush

Ada orang dengan memandu kereta dengan enjin turbo baru puas, enjin 1.5NA atau 2.0NA dia tak puas. Sebab itu ada sahaja orang yang mencemuh bila kami memandu uji Mazda 3 Liftback 1.5G Core, pun di atas permintaan penonton dan pembaca Mekanika yang mahukan sebuah kereta paling murah dan meriangkan daripada Mazda

Generasi pertama Mazda 3 dihasilkan pada tahun 2003 sebagai sebuah model baru bagi menggantikan model Mazda Familia dan juga 323. Pada asalnya nama yang digunakan ialah Axela iaitu gabungan 2 perkataan Accelerate dan Excellent.

Namun pengguaan nama Mazda 3 telah digunakan secara meluas dan sehingga hari ini sudah 4 generasi Mazda 3 dihasilkan bermula dengan model BK, BL, BM dan diakhiri dengan model BP. Mazda 3 generasi terkini diilhamkan dengan menggunakan Kai Concept pada tahun 2017 dengan rekaan luar diambil dari falsafah Kodo Soul of Motion

Model ini juga sebenarnya 3% lebih tegar berbanding dengan model sebelumnya dengan penggunaan Ultra High Strength Steel. Untuk unit ujian kami, ia datang dengan warna Polymetal Grey, rim 16 inci dengan dibalut tayar bersaiz 205/60, lampu DRL mentol biasa, pengilap cermin automatik serta lampu kabus belakang.

Dari segi saiz, Mazda 3 liftback datang dengan panjang 4460mm serta lebar 1795mm. Jarak antara roda pula ialah sekitar 2725mm menjadikan kereta ini kelihatan lebar dan rendah bila berada di jalan raya. Apatah lagi jarak kelegaan dengan permukaan jalan hanyalah 150mm sahaja.

Bagi mengurangkan bunyi bising, Mazda menggunakan teknologi baru dalam Mazda 3 seperti platform baru 2 lapis serta suspensi belakang menggunakan Coupled Torsion Beam bagi menggantikan sistem MultiLink yang lebih kompleks

Bagi memastikan keselesaan pemandu dan juga penumpang belakang, cesi ini juga dipasang dengan sistem elektronik G-Vectoring Plus yang akan mengurangkan ayunan cesi sewaktu kerta ini dipandu laju melalui selekoh.

Walaupun jarak antara roda ialah 2725mm iaiatu lebih panjang daripada Honda Civic, secara fizikalnya Mazda 3 tidak luas sangat namun lebih baik jika dibandingkan dengan model sebelumnya disebabkan pengunaan sistem suspensi yang lebih ringkas

Bakal pembeli masih mendapat kemasan pintu dan papan pemuka dengan material yang lembut, brek parkir elektrik, ciri autohold, namun kusyen ditukar dengan balutan fabrik serta dengan ciri ubahsuai mekanikal sahaja.

Tapi Mazda masih menawarkan paparan meter digital pada ruang tengah dan digabungkan dengan meter analog berwarna hitam putih, kamera undur belakang, sistem pemanduan automatik autocruise biasa, Head up Display, skrin sebesar 8.8 inci dengan dengan Mazda i-Connect yanng berupaya melakukan sambungan Android Auto dan Apple Car Play

Hanya 2 poin USB sahaja yang ditawarkan dalam kabin serta tiada corong penyaman udara ditawarkan untuk penumpang barisan belakang. Ruang kargo adalah sebesar 350 liter dan boleh digandakan menjadi 1120 liter jika kusyen barisan belakang dilipat

Ruang belakang adalah sedikit terhad tapi masih menawarkan ciri perehat tangan, cupholder dan juga 2 poin ISOFIX bagi pemasangan kerusi bayi.

Enjin 1500cc 4 silinder SkyActiv G yang menjana sekitar 118 kuasa kudan dan 153Nm tork ini nampak seperti kurang mengujakan, malah anda mungkin akan tertanya-tanya adalah ia mampu menggalas tugas membawa beban sehingga 1300kg iaitu berat Mazda 3 Liftback.

Tapi selepas penulis memandu selama 5 hari merentasi 5 negeri, percayalah ia adalah sudah mencukupi untuk pemanduan seharian anda tapi bukanlah pilihan yang ideal untuk mencetuskan adernaline rush dalam tubuh anda. Kuasa pada lower range dan medium range adalah mencukupi, hanya pada ketika pada halaju tinggi barulah ia menunjukkan 118 kuasa kuda ini adalah kecil saja.

Secara keseluruhan penghantaran kuasa Mazda 3 Liftback adalah jauh lebih baik berbanding dengan Mazda CX-3 1.5. Namun jika anda dahagakan lebih banyak respon, mungkin anda kena menghidupkan mode Sport pada gear 6 kelajuan automatik dan juga memaksimakan penggunaan ciri Shiftronic.

Mazda 3 Liftback menawarkan ciri pemanduan yang agak sporti dengan cesi terasa tegap dan kemas, namun penggunaan tayar Yokohama Bluearth bersaiz 205/60 melembutkan sedikit karekter sport pada Mazda 3 menjadikannya lebih seimbang dan selesa berbanding dengan model 2.0

Enjin pula akan beroperasi dengan santai pada 120km/j dengan bacaan RPM sekitar 2600 sahaja, memberikan bacaan purata penggunaan bahan api adalah sekitar 21km/liter jika anda terus kekal memandu pada halau antara 110-130km/jam.

Satu tangki penuh membolehkan anda memandu sejauh 800km tanpa masalah. Secara jujurnya penulis jarang sekali menggunakan mode Sport dan shiftronic, mungkin sebab mahu menjimatkan bahan api serta melihatsejauh mana Mazda 3 Liftback dipandu dengan setangki petrol. Operasi transmisi 6 kelajuan automatik adalah lancar dan selesa

Kuasa brek yang dihasilkan daripada penggunaan 4 cakera brek depan belakang menawarkan rasa yakin dan memberikan kawalan cesi yang baik sepanjang masa. Malah penulis merasakan ia adalah lebih baik daripada rasa brek yang ditawarkan oleh model CX-5.

Kalau anda suka memandu di selekoh dengan laju, kemungkinan besar anda akan sukakan Mazda 3 Liftback ini. Respon cesi di bahagian belakang adalah pantas apabila menerima input daripada stering. Sistem GVC-Plus pula akan menepis sebarang ayunan yang dihasilkan jika anda memasuki selekoh dengan agresif.

Ditambah pula dengan tayar yang berorientasikan keselesaan maka anda mendapat sebuah jentera yang seimbang dan cemerlang. Pemandu masih boleh berseronok di selekoh manakala penumpang masih lagi selesa dan boleh tidur dengan selesa

Dalam aspek keselamatan, Mazda 3 Liftback menawarkan brek ABS, EBD, ESC, 6 beg keselamatan udara, dan tiada sistem Mazda i-Activesense diberikan. Malah sensor parkir juga tidak diberikan dan hanya digantikan dengan menggunakan kamera undur sahaja.

Dari segi benchamarking atau saingan, Mazda sebenarnya mensasarkan pengguna dari segmen premium seperti BMW 1 Series, Mercedes A Class dan juga Audi A1 dan bukannya kereta buatan Jepun yang lain. Maka dari segi harga, RM 143,000 ini kelihatan munasabah jika dibandingkan dengan jenama Continental

Tapi sayangnya disebabkan model ini dihasilkan dan dibawa masuk secara CBU, maka ia tertakluk pada cukai dan juga kejatuhan nilai ringgit. Sebagai perbandingan, Honda Civic 1.5 Turbo varian terendah dijual dengan harga RM 131,900 sahaja.

Mazda 3 Liftback lebih sesuai untuk pemilik yang bujang, yang baru mendirikan rumah tangga dan mungkin juga untuk digunakan sebagai kenderaan kedua. Anda akan ditawarkan dengan 5 tahun servis percuma dan 5 tahun jaminan daripada pengeluar.

Google ads
Back to top button