Pandu Uji

MAZDA CX-3 2.0 HIGH, DENGAN i-ACTIVESENSE

Pada tahun 2018 ketika model Mazda CX-3 facelift diperkenalkan, ia merupakan unit pasang siap (CBU) yang diimport sepenuhnya dari Jepun dengan harga sekitar RM 121,000. Ketika itu ramai pengguna yang mengeluh kerena harganya sedikit keras bagi sebuah crossover B segment yang kompak. Tapi Mazda CX-3 tetap laku sehingga dan menjustifikasikan pelaburan Mazda bagi membawa masuk varian 1.5G Core

Dengan nilai ringgit yang semakin susut biarpun bertukar kerajaan, adalah sangat sukar untuk Mazda mengekalkan penawaran harga yang sama menjadikan pilihan yang tepat ialah membawa masuk Mazda CX-3 secara pasang siap daripada fasiliti pemasangan Mazda di Rayong, Thailand.

Sewaktu kami memandu uji unit Mazda CX-3 1.5G Core, ramai pembaca yang memberi komen berkenaan dengan kelengkapannya yang terhad, maka anda boleh memilih Mazda CX-3 2.0 High yang lengkap dengan sistem i-ActivSense dan dijual pada harga RM 135,459.00

Pada masa yang sama harga ini sebenarnya telah melebihi harga Mazda CX-30 2.0G yang dijual pada harga RM 133,819. Sebagai perbandingan, Mazda CX-30 diasaskan daripada platfrom yang sama dengan Mazda 3 manakala Mazda CX-3 pula dihasilkan dengan menggunakan platform Mazda 2.

1. CX-3 2.0 High ada rim lagi besar – unit pandu uji kami dilapisi dengan Soul Red Crystal iaitu warna merah premium Mazda, dengan teknik 3 lapisan cat. Proses mengecat ini memerlukan teknik khas yang dinamakan sebagai Takuminuri bagi menghasilkan refleks cahaya yang berbeza mengikut keadaan persekitaran

Jika disinari warna terang, cat ini menyerlahkan warna terang dan menghasilkan warna gelap apabila keadaan menjadi gelap. Dari segi saiz, panjang CX-3 adalah sekitar 4395mm, lebar 1795mm serta jarak antara roda ditetapkan pada 2655mm dan semua angka ini adalah sama dengan Mazda CX-30.

Namun dari segi penggayaan, Mazda CX-3 lebih bergaya dengan menggunakan roda yang lebih besar iaitu 215/50 R18 manakala Mazda CX-30 hanya menggunakan tetapan 215/50 R18. Malah kemasan luar CX-3 juga lebih menyerlah dengan penggayaan krom pada bampar depan dan juga skirting sisi.

2. CX-3 ada bumbung suria – bagi varian tertinggi CX-3, ia telah dipasang dengan bumbung suria (sunroof) sebagai peralatan standard manakala bagi CX-30 ciri ini hanya ditawarkan pada varian 2.0G High+ Premium yang jauh lebih mahal

Ciri sporti Mazda CX-3 dikuatkan lagi dengan trim balutan kulit seude pada papan pemuka dan juga kemasan pintu. Malah CX-3 juga menggabungkan elemen aluminium brush, kulit serta plastik berkilat secara harmoni pada bahagian dalaman CX-3 bagi memberikan imej yang lebih ranggi

Mazda CX-3 2023 juga menerima sistem audio lengkap dengan sambungan Apple Car Play/Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar dan juga kusyennya dibalut dengan menggunakan kulit manakala CX-30 2.0G hanya menggunakan kemasan fabrik sahaja.

Bagi unit Head Up Display pula, biarpun masih menggunakan rekaan cermin pemantul yang sama tapi ia dipertimgkatkan lagi dengan ciri amaran titik buta. Ruang kargo belakang pula sekitar 350 liter, cukup untuk 4 penumpang dan boleh dibesarkan menjadi 1260 liter bila kusyen belakang dilipat

3. CX-3 ada paddleshift – CX-3 masih dikuasakan dengan enjin 4 silinder 2000cc SkyActiv-G lengkap dengan sistem VVT bagi menjana sehingga 154 kuasa kuda dan 206Nm tork pada 2800RPM. Enjin ini hanya ditawarkan dengan transmisi automatik 6 kelajuan lengkap dengan unit penukar gear di belakang stering.

Ciri paddleshifter ini hanya ditawarkan pada CX-30 varian High+ dan ke atas sahaja. Dengan berat sekitar 1300kg, Mazda CX-3 2.0G ini terasa lincah dengan tork yang tinggi dan sampai lebih awal. Penggunaan bahan api adalah sekitar 13km/liter dan akan menjadi lebih baik apabila jarak pemanduan melebihi 10,000km yang pertama.

4. Aspek keselamatan CX-3 lebih lengkap – CX-3 High juga dipadankan dengan semua ciri Mazda i-ActiveSense yang merangkumi Auto High Beam, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Driver Attention Alert, Smart City Brake Support, dan juga kamera 360 darjah. Bagi Mazda CX-30 2.0G, ia langsung tidak menerima semua ciri di atas melainkan varian High+

5. CX-3 lebih sporti, CX-30 lebih santai – CX-3 juga diberikan jarak kelegaan dengan permukaan jalan pada 160mm, iaitu 15mm lebih rendah berbanding dengan CX-30 (175mm). Keadaan ini memudahkan kanak-kanak dan orang tua untuk keluar masuk dari kenderaan.

Dari sudut pemanduan, CX-3 datang dengan beberapa ciri yang lebih sporti dan seiring dengan gaya rekaan luar. Stering CX-3 adalah lebih cepat dengan anda hanya perlu memubuat 1.5 pusingan sahaja untuk melakukan belokan U.

Talaan pada sistem klac dan juga transmisi 6 kelajuan automatik ini lebih agresif menjadikan CX-3 lebih “melompat” ke depan jika anda menekan pedal minyak dengan kuat sedangkan CX-30 membina pecutan secara progresif. Malah brek yang ada pada CX-3 juga boleh dikatakan lebih padat dan meyakinkan anda untuk membrek dengan lewat di selekoh

Pemandu juga akan dihadiahkan dengan bunyi mekanikal enjin dan ekzos yang original jika anda memecut, memberikan sensasi pemanduan sporti. Bagi orang muda, ciri ini akan menjadikan anda leboh seronok untuk memandu

Tetapan penyerap hentak, spring dan juga penggunaan rim 18 inci menjadikan dinamik pergerakan cesi sedikit “ketat” dan solid. Tetapan sebegini memang bagus jika anda ingin mengambil selekoh dengan bersemangat tapi menyebabkan faktor keselesaan sewaktu melalui jalan tidak rata sedikit terjejas.

Jika anda melayan selekoh tajam, CX-3 akan melekat di permukaan jalan dengan baik kecuali jika ada lubang atau bonggol barulah suspensi belakang torsion beam akan melompat sekejap bagi mengingatkan anda kekurangan suspensi torsion beam

Namun dengan kedudukan anda yang agak rendah, rapat dengan permukaan jalan, bunyi ekzos berkembar yang sporti, transmisi yang agresif serta tetapan penyerap hentak yang keras mengingatkan anda CX-3 ini adalah sebuah crossover yang sporti, sesuai untuk orang muda

Dengan saiz yang kompak dan bergaya, CX-3 nampak lebih sesuai untuk wanita berkerjaya yang mahukan sebuah crossover kompak yang senang untuk dipandu ke mana-mana dan diparkir di ruangan yang sempit di kawasan bandar yang sesak

Tambahan pula jaminan pengeluar selama 5 tahun dan juga servis percuma selama 5 tahun adalah pakej membuatkan pemilik terutama wanita tidak perlu pening kepala dengan pemilikan Mazda CX-30 2.0 High sebagai crossover pilihan utama.

Google ads
Back to top button