
MAZDA MX-5 KIZUNA, 250 UNIT UNTUK UK, RM169.5 RIBU!
Tercari-cari sebuah kereta sport yang ringkas, boleh buka bumbung dan ikonik? Jawapannya pada Mazda MX-5 dengan legasi yang bermula pada 1989.
MX-5 kini berada di dalam generasi keempat (ND) sejak dikeluarkan pada 2015. Kehebatan MX-5 menyerlah apabila diiktiraf sebagai World Car of the Year dan World Car Design of the Year 2016.
Bukan sahaja ringkas, pembeli MX-5 digembirakan dengan dua pilihan utama iaitu enjin 1.5 liter atau 2.0 liter dan model Convertible (Roadster) atau Retractable Fastback (RF).
Terbaru di United Kingdom, Mazda menawarkan MX-5 Kizuna yang diasaskan dari model 1.5 liter Skyactiv-G 132 ps Exclusive-Line Roadster dengan transmisi manual enam kelajuan.
Sesaran enjin memang kecil untuk sebuah kereta sport dan sejak dari dulu MX-5 bukan tentang kuasa. Kereta ini dibuat untuk kesoronokan pemanduan dan perlu diingat MX-5 dipacu roda belakang.
Mungkin ada pembeli yang mahukan tambahan kuasa ke dalam pakej pengendalian MX-5 dan untuk itu jangan bimbang kerana ada syarikat yang menawarkan kit pengubahsuaian.
Di antara ciri istimewa MX-5 Kizuna ialah warna Deep Crystal Blue atau Machine Grey dengan bumbung fabrik warna biru. Rim saiz 16 inci menjelaskan lagi gaya sederhana dan ‘cool’ MX-5.
Simpan bumbung ke belakang, terserlah balutan kulit Nappa warna Light Stone pada bahagian dalam kereta.
Kizuna di dalam bahasa Inggeris merujuk kepada enduring bond atau pertalian atau hubungan dan nama yang sesuai untuk karakter MX-5.
Hanya 250 unit sahaja dibawa masuk ke UK dengan 170 unit dalam warna Machine Grey dan baki 80 unit dalam warna Deep Crystal Blue.
Harga yang ditawarkan ialah 30,265 pound sterling (RM169,545).
MX-5 Kizuna adalah satu daripada kemeriahan penawaran MX-5 2023 di UK dengan barisan yang terdiri daripada Prime-Line, Exclusive-Line dan Homura.
Kedua-dua model Roadster dan Retractable Fastback RF didatangkan dalam pilihan 1.5 liter 132 ps dan 2.0 liter Skyactiv-G 184 ps.
Di antara ciri baharu untuk MX-5 2023 ialah warna Zircon Sand dan varian Homura (manual) dipasangkan angkup brek depan warna merah dari Brembo.
BACA: MAZDA MX-5 MIATA 2023, MODEL MAZDA YANG PALING BOLEH DIHARAP
BACA: MAZDA FAILKAN PATEN ENJIN BARU, SKYACTIV-X DENGAN PALAM PENCUCUH BERKEMBAR
BACA: MAZDA CX-30 DIIKTIRAF SEBAGAI SUV KOMPAK TERBAIK DI AMERIKA

























































