Pandu Uji

MAZDA CX-30 CKD, LEBIH MURAH DAN LEBIH BANYAK GAJET. DARI RM 128K

Tahun 2020 merupakan tahun yang agak gelap bagi sektor automotif dengan pelbagai sekatan perdagangan dikenakan dek kerana penularan wabak COVID-19. Namun bagi jenama Mazda, ia merupakan tahun yang cemerlang kerana jenama ini berjaya meraih beberapa anugerah di peringkat global bagi mengiktiraf hasil kerja mereka

1. Pertama, model Mazda 3 Hatchback memenangi World Car Design of The Year. Bagi kembarnya pula iaitu crossover yang diasaskan oleh model yang sama iaitu Mazda CX-30, model ini memenangi anugerah Red Dot Design Award bersama sama dengan model MX-30 elektrik sepenuhnya

Jika anda melihat Mazda CX-30 secara berdepan, terdapat beberapa elemen rekaan yang menjadikan crossover ini sangat menarik perhatian. Ia mengetengahkan rekaan klasik kereta sport iaitu dengan menggunakan rekaan hud depan yang lebar dan panjang, shoulder line yang tinggi dan roof line yang agak rendah menjadikan keseluruhan rekaan ini seimbang.

2. CX-30 dikemaskan lagi dengan penggunaan kemasan krom, jeriji terapung dan juga lampu depan yang sengaja direka memanjang dan sepet. Rekaan sisi pula memberi fokus kepada Soul of Motion iaitu permainan pembiasan cahaya apabila cahaya matahari dipancarkan pada permukaan pintu dan panel badan

Varian High, High Plus dan High Plus Premium menggunakan lampu LED projektor, lengkap dengan DRL terbina dalam dan khas untuk varian High Plus Premium ia menggunakan lampu depan Adaptive LED High Beam. Malah dengan harga RM 158,109, ia lebih murah berbanding dengan varian CBU yang hanya diberikan ciri Auto High Beam saja

3. Enjin 2000cc SkyActiv G yang menghasilkan 162 kuasa kuda dan 213Nm tork merupakan enjin yang ditawarkan bagi semua varian termasuk varian Standard yang berharga RM 128,109. Enjin ini dipadankan dengan transmisi SkyActiv 6 kelajuan automatik lengkap dengan ciri Paddleshift bagi memudahkan penukaran gear ketika pemanduan agresif

4. Walaupun diasaskan daripada Mazda 3, CX-30 direka dengan beberapa perubahan pada platform termasuklah jarak antara roda yang lebih pendek sebanyak 70mm kepada 2655mm. Jarak kelegaan permukaan jalan dinaikkan kepada 175mm. Malah rekaan C Pillar CX-30 juga kelihatan lebih menarik berbanding dengan Mazda 3 hatchback

5. Kemasan rekaan belakang disudahkan dengan bahagian belakang yang berlekuk, paip ekzos berkembar, spoiler, dan juga penutup ruang kargo dengan ruang sebesar 430 liter yang turut memuatkan tayar simpanan kecemasan. Ruang ini boleh dibesarkan menjadi 1406 liter apabila kusyen belakang dilipat

6. Memasuki ruang belakang, perkara pertama yang akan anda perasan ialah sudut penyandar kusyen belakang yang sedikit menegak dan ruang yang cukup selesa untuk 4 penumpang. Kalau 5 pun boleh, tapi anda akan terasa sedikit ketat

Ruang kepala adalah mencukupi dan ruang kaki yang cukup melainkan anda memasang kerusi bayi yang besar gedabak seperti penulis. Terdapat 2 corong penyaman udara untuk penumpang belakang namun tiada poin USB diberikan tapi ia diletakkan dalam perehat tangan depan selain satu unit pengecaj tanpa wayar di bahagian depan

7. Rekaan ruang pemandu adalah rekaan klasik Mazda, direka dengan minima namun disudahkan dengan kemasan yang mahal gabungan kulit, krom, plastik berkilat, butang yang sedap ditekan dan plastik lembut. Sebaik saja anda sentuh semua material di atas, anda tahu rekaan ini adalah premium.

Falsafah Mazda ialah “Less is More” dengan fokus dibuat supaya pemandu memberikan tumpuan 100% pada pemanduan. Jadi semua tulisan dan rekaan meter direka dengan monokrom berwarna putih dengan latar belakang hitam bagi mengurangkan “noise” pada mata pemandu

Mazda turut meletakkan skrin multimedia 8.8 inci jauh dari capaian pemandu, dan tertanam sedikit dalam papanpemuka. Skrin ini hanya boleh diakses dengan menggunakan sistem OS Mazda i-Connect yang turut dipasang dengan Android Auto dan Apple Car Play.

Rekaan ini adalah rekaan klasik kereta sport pada sebuah crossover dengan rekaan stering sedap digenggam, meter senang untuk dilihat selain diberikan ciri Head Up Display dan anda boleh mengoperasikan semua suis dengan hanya mendengar suis tersebut berbunyi tanpa anda perlu melihat tangan anda bekerja.

Pujian juga patut diberikan pada unit CKD ini kerana penulis mendapati unit penyaman udara menjadi lebih “tempatan” dengan ciri penyejukan pantas tanpa anda perlu menurunkan suhu pada 18 darjah Celcius untuk menyejukkan ruang kabin

8. Dari segi kualiti pemanduan, Mazda CX-30 CKD mengekalkan rasa pemanduan yang sama dengan varian CBU yang telah diuji pada tahn 2020 dulu. Suspensi CX-30 tidak terlalu keras dan sporti seperti CX-3 ataupun terlalu lembut jika dibandingkan dengan CX-5. Ia sangat seimbang dan mudah dikawal di selekoh

Cuma jika anda melalui speed bump di kawasan taman perumahan melebihi 30km/jam, barulah anda akan terasa suspensinya keras dan sedikit melantun. Namun pada halaju maksimum, suspensi topang McPherson dan torsion beam yang digunakan adalah sangat selesa, melekat di selekoh pada halaju tinggi dan tidak menyebabkan anda terasa melantun-lantun

Ia menghasilkan perasaan selesa serta menjadikan anda terus yakin untuk memandu pada halaju tinggi. Tambahan pula enjin 2000cc ini sangat “ringan” dan operasi penukaran gear automatik ini sangat lancar. Namun operasi pecutan tidak akan menyebabkan anda menyentap ke depan, sebaliknya anda terasa CX-30 menolak anda ke depan secara linear.

Paling best ialah pandu CX-30 di laluan berselekoh dan gunakan paddleshift, turunkan satu atau 2 gear sebelum selekoh, rasakan weight transfer berlaku pada roda depan, masuk selekoh dengan tenang dan ketika keluar sistem GVC Plus akan memastikan olengan cesi adalah minima pada penumpang. Ya anda boleh berseronok dan penumpang boleh kekal tenang

9. Dalam aspek keselamatan, CX-30 mengekalkan semua ciri yang ada pada unit CBU termasuklah 7 beg udara, lampu depan Adaptive LED Headlight (CBU hanya Auto High Beam), Front Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Alert, Amaran Titik Buta ( turut dipaparkan pada HUD), Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Smart City Brake, Cruising Traffic Support dan Mazda Radar Cruise Control

10. Dari segi harga, Mazda CX-30 versi CKD dijual lebih murah dengan lebih banyak pilihan varian. Varian Standard (bagi menggantikan varian Core CBU RM 146k) kini dijual pada harga RM 128,109, menjadi RM 136,109 bagi varian High, RM 146,109 bagi High Plus dan RM 156,109 bagi High Plus Premium. Sebagai perbandingan varian High Ignite Edition dulu dijual pada harga RM 169,044

11. Harga ini merangkumi harga kereta (tanpa insurans) dan juga pakej servis percuma selama 5 tahun atau sehingga perbatuan 100,000km merangkumi minyak pelincir, upah dan juga alat ganti terpilih

Pada hemat kami Mazda CX-30 ini sangat sesuai untuk pemilik yang bujang atau baru sahaja berkahwin mahupun mempunyai anak yang kecil. Ia amat sesuai untuk dipandu seharian ke tempat kerja atau dipandu jauh baik di lebuh raya ataupun di jalan kampung

Kedudukannya yang sedikit tinggi memastikan ayunan cesi adalah lebih baik berbanding dengan Mazda3. Dengan tawaran harga permulaan RM 128,109 ia akan menjadi pilihan pada pemandu yang suka memandu setiap hari, menawarkan kualiti pemanduan seperti Conti dengan kualiti binaan daripada Jepun

Google ads
Back to top button