Buletin

MBM TAK JADI LANCAR EQC. PELAN EV DIMUKTAMADKAN AKHIR TAHUN INI

Pada Jun 2019, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) ada memperkenalkan jentera elektrik pertamanya, EQC ke pasaran tempatan. Pengenalan tersebut dilihat selari dengan hasrat Mercedes-Benz untuk meningkatkan pengeluaran dan jualan model elektriknya di pasaran global. 

Pada ketika itu, MBM memberitahu pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan bermula tahun 2020 dengan anggaran harga EQC sekitar RM600,000 seunit. Namun, penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan masih belum reda di Malaysia jelas membantutkan peracangan itu. 

Satu sesi temubual dengan Naib Presiden Pemasaran dan Jualan MBM, Micheal Jopp baru-baru ini menjelaskan apakah nasib EQC di Malaysia. Menurut Jopp, MBM kini perlu menilai semula perancangan untuk memperkenalkan EQC. 

“Kami perlu pastikan mengenai aspek khidmat pelanggan, infrastruktur dan latihan rangkaian pengedar sebelum boleh menawarkan kereta elektrik. Buat masa sekarang, kami masih menilai beberapa model elektrik terbaharu. Seperti yang anda tahu, Mercedes-Benz mempunyai portfolio kereta elektrik yang menarik dan bakal dipertontonkan kepada awam di Munich  serta Franfurt Auto Show

“Sebaik sahaja bersedia, kami akan maklumkan kepada anda semua. Pelan ini akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini,” kata Jopp. 

SUV tersebut dikuasakan  dua unit motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang yang menawarkan output kuasa 300kW (408hp dan tork 760Nm). Hadir dengan mode pemanduan Comfort, Eco, Max Range, Sport dan Individual, EQC mampu bergerak sejauh 450km dengan sekali caj.

Ditanya adakah Malaysia dan pasaran Asia Tenggara lain yang mungkin tidak dapat mengikuti strategi elektrifikasi Mercedes-Benz hanya akan menerima model-model ‘lama’, Jopp menyatakan walaupun Mercedes-Benz giat membangunkan kereta elektrik, penghasilan kenderaan dengan enjin konvensional tetap diteruskan. 

Persoalan untuk Malaysia adalah sepantas mana ia mampu beralih kepada mobiliti elektrik. Jika dilihat kepada perkembangan semasa, negara ini sememangnya agak terkebelakang berbanding negara-negara jiran. 

“Namun, saya yakin peralihan kepada jentera elektrik di Malaysia akan dipercepatkan. Saya juga menjangkakan peluang untuk memperkenalkan EV di sini masih terbuka luas,” jelas Jopp.

Google ads
Back to top button