Buletin

MCLAREN F1 1997 UNREGISTERED NI MUNGKIN MILIK ANDA – JIKA CUKUP WANG HANTARAN

Pernah dengar kisah orang beli motor baru tapi tak register dan simpan dalam bilik tidur siap balut dengan plastik. Setahun dua lepas tu siap iklan dengan harga mencecah RM30,000,  rare dan limited katanya. Siap claim hobi kami mahal. Ada ke yang sanggup beli? Dah tentu ada yang mampu di luar sana. Cuma sama ada laku dalam masa sebulan atau setahun tak tahu lah.

Itu baru motor, ini pula cerita pasal kereta. Bukan sebarang kereta tapi sebuah supercar ikonik iaitu McLaren F1 tahun 1997. Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini? Hari tu kami dah ceritakan tentang sebuah McLaren F1 yang berjaya dijual dengan harga USD15 juta di Amerika kan? Yang ini lebih isitimewa sebab tidak pernah di daftarkan dan bahagian dalamannya siap masih dibalut dengan pelindung dari kilang. 20 tahun dah tu.

Kalau anda seorang pengumpul Hotwheels rasanya mesti anda tahu yang harga kereta-kereta Hotwheels ni akan lebih mahal jika ia masih berada dalam kotak bungkusan asalnya. Nak pulak model-model limited edition. Beli RM5 jual balik RM30 tu kira biasa. Rasanya pemilik McLaren ini juga mempunyai fikiran yang sama semasa menempah kereta ini dahulu.

BACA: PEMBELI MISTERI TEMPAH 2 MCLAREN SEKALIGUS, INI BARU ADIL DAN KAYA!

McLaren F1 1997 ini dikatakan akan dijual melalui pengedar di UK dan cukup menakjubkan kerana hanya mempunyai bacaan perbatuan 238 kilometer sahaja. Pengedarnya mendakwa yang ia adalah McLaren F1 dengan bacaan perbatuan terendah di dunia. Malah pemiliknya juga tidak pernah mendaftarkannya untuk memandunya di atas jalan raya. Punyalah kaya.

Semua bahagian kereta ini masih dalam keadaan semasa ia meninggalkan kilangnya 20 tahun dahulu. Bahagian papan pemuka, lantai dan tempat duduk masih dilindungi dengan pelindung dari kilang. Malah pelapik kaki pun masih dibalut dengan plastik asal tanda ia tidak pernah digunakan. Begitu juga dengan dua bagasi dan ekzos tempahan khas F1 LM-style dan roda stereng suede gaya GTR yang boleh ditanggalkan.

Sudah tentu pelbagai aksesori lain turut disertakan sekali dengan kereta ini. Pembeli juga akan menerima jam tangan Tag Heuer edisi khas lengkap dengan nombor siri kereta ini, selain pelbagai peralatan membaiki sama seperti sebuah bengkel dan buku proses pembuatan.

Kereta ini sebenarnya dihasilkan untuk seorang pembeli dari Jepun. Yang kelakarnya is disenaraikan sebagai model panduan sebelah kanan seperti di negara kita. Kanan apa halanya kalau dah pemandu McLaren memang duduk ditengah-tengah kereta. kalau anda musykil dengan kemasan berwarna emas pada bahagian penutup enjin tu jangan gusar. Ia sememangnya diperbuat daripada emas. Emas tulin kau!

Okey berapa harganya? Buat masa sekarang pengedarnya, Tom Hartley Jr. belum ditetapkan lagi. Tapi jika F1 pertama didaftarkan di AS dan mempunyai 15,000 perbatuan berjaya dijual dengan harga USD15 juta. Model yang belum didaftarkan ini tentulah lebih mahal lagi. Malah ia bagaikan sebuah kereta baru dan bukannya sebuah model terpakai.

GALERI:

Google ads
Back to top button