
MERCEDES-BENZ CLK AMG DTM COVERTIBLE – HANYA 80 UNIT SAHAJA PERNAH DIHASILKAN
Selain daripada kereta-kereta sports kami juga meminati kereta mewah keluaran Jerman khususnya keluaran Mercedes-Benz. Bukan kesemua model mereka tapi sekurang-kurang dari CLK Class. Ye lah, nak beli AMG One memang jual buah pinggang lapan kampung belum tentu cukup modal. Menariknya CLK Class ini kerana ia pernah menghasilkan model-model hebat seperti CLK-GTR, CLK 63 AMG Black Series dan CLK DTM.

Bulan depan sebuah model CLK DTM akan dilelong dan harganya dianggarkan akan mencecah USD627,000 (RM2,745,946.12)! Bukan main-main punya harga tuan-tuan. Ini bukan setakat pengsan berdiri lagi tapi akan membuatkan akan terkentut dan ternganga sambil empat hari empat malam.
CLK DTM ni memang jauh berbeza dari CLK standard. Malah ia juga dikatakan jauh lebih gila berbanding CLK 63 Black. Ia dihasilkan bersempena dengan kejayaan Mercedes-Benz dalam perlumbaan DTM 2003 dan hanya 100 unit coupe dan 80 unit convertible pernah dihasilkan.

Semasa dilancarkan ia adalah convertible empat tempat duduk paling laju di dunia. Memang sewajarnya ia sekarang menjadi buruan pengumpul.
Tengok sahaja susuk tubuhnya dan tahu model ini memang berbeza dari CLK standard. Ia mempunyai arca roda yang lebih lebar, fasia yang dinaik taraf dan bergerak di atas rm-rim unik bersaiz 19 dan 20 inci. Ia turut dilengkapi spoiler unik dan paip ekzos berkembar di belakang.
Oh ya, itu paip ekzos betul ya. Bukan paip ekzos Bluetooth yang tertutup macam abang nampak kat MPV mewah masa terperangkap dalam jem semalam.

Jentera DTM dalam artikel ini dilahirkan di Jerman pada 2006 sebelum dieksport ke Korea Selatan dan dipamerkan di muzium. Ia kemudian berpindah dan menetap di Eropah sejak 2016 dan hanya mencatatkan perbatuan 22,000 kilometer. Raksasa AMG berwarna Obsidian Black ini memang mempunyai aura tersendiri. Ia tak sama dengan Mercedes Cikgu Dolah pengetua pencen kat kampung ya.
Jengah sahaja ke bahagian dalam dah boleh agak kenapa kereta ni mahal sangat. Tempat duduk depan adalah dari versi perlumbaan serat karbon dengan kemasan daripada kulit dan alcantara berwarna biru. Tempat duduk belakang macam tak wujud. Masih ada bahagian berkusyen tapi kami jamin memang sangat menyeksakan kalau terpaksa duduk dalam perjalanan lebih dari 20 kilometer.
Kuasa dan tarikan sebenar kereta ini ialah pada enjin 5.4 liter supercharge V8 di bawah penutup bonetnya. Ia mampu menjana 582 hp kuasa dan 800 Nm tork maksima. Pecutan 0-100 kmj mampu dicapai dalam masa 4 saat dan kelajuannya mampu meningkat sehingga melebihi 300 kmj!


Kalau berminat dengan kereta ini macam kami, dan mempunyai kemampuan kewangan tak macam kami, kereta ini bakal dilelong oleh Broad Arrow Auctions pada 25 Mei akan datang. Sediakan duit banyak-banyak dan hubungi kami kalau anda berjaya memilikinya. Kami nak tumpang untuk buat rasa-rasa. Kami tak beli sebab stereng belah kiri kalau tak…





Kredit carscoops.com