Motosikal

RYDEEV UMUM BERPISAH DENGAN YINSON GREENTECH, APA HALA TUJU SELEPAS INI?

Walaupun pasaran kereta elektrik berkembang dengan laju di Malaysia lain ceritanya apabila melibatkan jenama motosikal elektrik. 

Buat masa ini hanya beberapa jenama yang berjaya mengorak langkah dengan positif antaranya skuter elektrik Yadea yang diedarkan MForce Bike Holdings, serta  MEV-1 yang dipasarkan Modenas untuk kegunaan Pos Malaysia. 

Selain itu, ada juga beberapa jenama lain antaranya Blueshark yang memasarkan model R1 disini serta RydeEV yang membuat debut di Malaysia pada September 2023. 

Beberapa bulan selepas itu, RydeEV mencuri tumpuan apabila mengumumkan jalinan kerjasama dengan syarikat telco gergasi, CelcomDigi pada January 2024. Hari pelancaran turut berlangsung penuh gah dengan kehadiran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kerjasama itu membolehkan pelanggan yang melanggan pelan pra-bayar Easy360 CelcomDigi memiliki skuter elektrik RydeEV dengan bayaran ansuran bulanan. 

*pengumuman dibuat di platform media sosial RydeEV

Bagaimanapun, RydeEV membuat pengumuman mengejut apabila mengumumkan bahawa mereka tidak lagi bersama Yinson Greentech untuk masa akan datang. 

Pengumuman mengejut itu dibuat menerusi platform media sosial RydeEV sementara pihak Yinson Greentech mengesahkan perkara itu menerusi laman Linkedin. 

Perpisahan mengejut itu juga menyaksikan kerjasama dengan CelcomDigi terbatal sekaligus individu yang melanggan motosikal elektrik RydeEV menerusi pelan prabayar Easy360 CelcomDigi kini perlu membuat bayaran terus kepada RydeEV. 

Perkembangan terbaru ini mencetuskan pelbagai persoalan antaranya apakah punca disebalik perpisahan ini?

RydeEV dalam kenyataan terbaru memaklumkan pihaknya telah pun melancarkan hampir 200 motosikal elektrik selain mengerahkan hampir 50 stesen pertukaran bateri di seluruh negara. Namun begitu, tidak dinyatakan berapa dari hampir 200 unit itu telah diserahkan kepada pelanggan/syarikat disamping lokasi hampir 50 stesen pertukaran bateri berkenaan. 

Selain itu, apakah langkah seterusnya bagi RydeEV di Malaysia dan apakah jaminan terbaru yang akan diberikan kepada pelanggan terutamanya mereka yang telah melanggan pelan prabayar Easy360 oleh CelcomDigi sebelum ini? 

Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman terbaru (sekiranya ada) dari pihak RydeEV. 

Google ads
Back to top button