Motosikal

KTM 1290 SUPER ADVENTURE S TIBA DI MALAYSIA. BERMULA RM132,800 SEUNIT

KTM Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model adventure-tourer, KTM 1290 Super Adventure S ke pasaran tempatan. Ia boleh dimiliki pada harga bermula RM132,800 seunit. 

Sudah memasuki generasi ketiga, motosikal berkenaan menerima pelbagai penambahbaikan ketara. Antaranya pada kerangka chasis yang kini lengan ayunnya dipanjangkan sebanyak 15mm untuk memberi tunggangan lebih stabil. 

Aspek keselamatan dan keselesaan penunggang ditingkatkan menerusi sistem suspensi WP Semi-Active Sispension (SAT). Ia dilengkapi unit kawalan injap magnet elektronik yang membolehkan penunggang membuat pelbagai talaan mengikut kesesuaian. 

Jentera flagship KTM itu menggunakan enjin LC8 V-Twin yang mampu menjana 160hp dan tork 138Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear Pankl enam kelajuan bersama ciri Quickshifetr+ untuk menawarkan penukaran gear lebih pantas. 

Enjin dah power, brek pun mestilah power juga kan? Jadi, KTM 1290 Super Adventure S dipasang dengan brek Brembo empat omboh bersama cakera berkembar bersaiz 320mm di hadapan dan 267mm di belakang. Sistem tersebut dibantu oleh ABS dua saluran 10.3ME. 

Bagi mengelakkan penunggang kerap ke stesen minyak, tangki petrol berkapasiti 23 liter diberikan. Sementara ruang storan yang lengkap dengan slot USB dan boleh menyimpan telefon bimbit, kaca mata atau dompet memang memudahkan penunggang. 

Seperti kebanyakan jentera moden, KTM 1290 Super Adventure S dilengkapi skrin TFT bersaiz tujuh inci. Menawarkan grafik yang jelas untuk dibaca dan sudut pandangan boleh dilaras, ia juga menyokong ketersambungan dengan peranti pintar serta aplikasi KTM MY RIDE. 

Tunggangan kini lebih selamat dengan adanya sistem bantuan eletronik seperti Motorcycle Stability Control (MSC) daripada Bosch, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan cengkaman motosikal (MTC), kawalan cengkaman off-road, ABS off-road, kawalan jelajah adaptif menggunakan bantuan radar dan banyak lagi.  

Penunggang juga boleh melaras ketinggian cermin hadapan, pemijak kaki dan pelana daripada 849mm kepada 869mm mengikut keselesaan.  

GALERI

Google ads
Back to top button