SYM VF3i 185 Pro DILANCARKAN. 3 WARNA BAHARU, 19.7HP, BREK ABS, RM9,338
Berikutan sambutan yang sangat memberangsangkan semasa pelancaran SYM VF3i 185 LE pada Mei lalu, MForce Bike Holdings kini menawarkan pula edisi terkini SYM VF3i 185 Pro.
Turut dikenali sebagai model V3, kapcai tersebut didatangkan dalam tiga warna baharu iaitu merah, biru dan emas.
Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad menyatakan VF3i 185 Pro dikeluarkan untuk memenuhi permintaan pasaran. Jentera tersebut mengekalkan ciri-ciri menarik seperti janaan enjin 4-lejang 183cc dengan penyejukan cecair.
Enjin dengan sistem pancitan bahan api dan berkapasiti paling tinggi dalam segmen kapcai itu mampu menjana kuasa sehingga 19.7hp pada 9,000rpm dan tork 17.4Nm tork pada 7,500rpm. Ia kemudian dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.
Sistem brek anti-kunci (ABS) dikekalkan untuk tunggangan yang lebih selamat. VF3i 185 Pro turut memiliki tangki bahan api terbesar dalam kelas kapcai iaitu 7 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.
Edisi Pro menerima lampu nyalaan siang (DRL) selain speedometer gabungan paparan digital dan analog. Ketinggian tempat duduk adalah sekitar 790mm demi memastikan keselesaan penunggang.
Sym VF3i 185 Pro ditawarkan pada harga jualan mampu milik iaitu RM9,338 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). VF3i 185 Pro akan berada di premis-premis pengedar SYM di seluruh Malaysia bermula 15 Oktober 2020.
Pembeli VF3i 185 Pro atau V3 juga boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahunatau jarak perjalanan 20,000 km (mana-mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.