Motosikal

WMOTO RT3 2021 MASUK PASARAN MALAYSIA. HARGA BERMULA RM15,188

MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce) memperkenalkan secara rasmi skuter terbaharu dikenali WMoto RT3 2021.

Motosikal terbaharu itu menampilkan rekaan moden dan sporty hadir dengan tiga warna pilihan menarik biru (Glittery Blue), merah dan kelabu (Matte Grey).

Model WMoto RT3 2021 yang memiliki berat 194kg dijual pada harga RM15,188.00 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran).

Didatangkan rekaan menggunakan gentian karbon menyerlahkan lagi sisi premium skuter tebaharu itu.

Di bahagian hadapan dan belakang, ia dilengkapi sistem lampu utama LED sepenuhnya manakala lampu kecemasan sangat terang untuk memastikan keselamatan penunggang.

Selain itu, tempat duduk pula menampilkan rekaan ergonomik dengan bahan anti-licin sekali gus memastikan penunggang tidak menggelungsur ketika mengendali skuter tersebut terutama ketika perjalanan jarak jauh.

Pada bahagian belakang, terdapat grip frame mudah alih yang mampu menampung beban berat sehingga 5 kg.

Melihat cermin sisi, ia boleh dilipat dan dilaras mengikut keselesaan manakala bar hendal dilengkapi lampu pada setiap butang kawalan memudahkan pengendalian pada waktu malam.

Kluster instrumen pula menggabungkan teknologi digital dan analog memaparkan maklumat spedometer, takometer, tetapan trip perbatuan, jumlah odometer, bar petrol, indikator amaran ABS dan suhu air.

Ia menawarkan enam warna pilihan iaitu biru, merah, ungu, oren, kuning dan putih.

Antara ciri-ciri menarik lain termasuk sistem kunci pintar (smart key), skrin penghadang angin yang besar di bahagian hadapan dan tempat pemijak kaki.

Skuter tebaharu itu turut dilengkapi tayar berukuran 120/70-15 di bahagian depan serta 140/60-14 di belakang.

WMoto RT3 mendapat khidmat enjin patuh Euro4 4-lejang 4-injap silinder tunggal DOHC 247 cc dipadankan transmisi automatik CVT jenis klac kering.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 23 hp @8,000 rpm dan tork 22.5 Nm @6,500 rpm.

Dalam pada itu, sistem suspensi menggunakan fork teleskopik di depan dan dwi-absorber boleh laras di belakang manakala sistem brek dipasang cakera tunggal pada kedua-dua roda dilengkapi ABS.

WMoto RT3 2021 boleh didapati di semua pengedar sah MForce dengan jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km (mana-mana yang tiba terdahulu).

Google ads
Back to top button