Buletin

MITSUBISHI TRITON ATHLETE 2021. GANTI TRITON ADVENTURE X, BERMULA RM141,500

Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) hari ini secara rasminya memperkenalkan varian terbaharu Triton yang dikenali sebagai Triton Athlete ke pasaran tempatan. 

Sudah dua tahun diperkenalkan di pasaran Thailand, jentera itu diposisikan sebagai varian paling premium untuk pelanggan Mitsubishi di Malaysia. Hadir dalam tiga warna iaitu orern, putih dan hitam, ia akan menggantikan varian Triton Adventure X. 

Dari segi estetik, Triton Athlete tampil garang dengan rekaan Dynamic Shield bersama gril dan skid plate hadapan berwarna hitam. Pada bahagian sisi pula, ia diserlahkan lagi dengan grafik dengan tulisan Triton Athlete, pemijak kaki, perumah cermin sisi dan rim bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat. 

Masuk ke ruang kabin, ia dibezakan dengan varian lain menerusi jahitan benang berwarna oren pada stereng, tuil gear serta plat kaki beriluminasi LED. 

Triton Athlete dikuasakan oleh enjn turbo diesel MIVEC bersesaran 2.4 liter dengan teknologi Variable Valve Timing yang mampu menjana 181PS dan tork 430Nm. Kawalan mantap trak pikap itu ditingkatkan dengan ciri Super Select 4WD II bersama mode off-road. 

Aspek keselamatan agak lengkap dengan ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation (FCM) Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW dengan LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Auto High Beam (AHB) dan 7 beg udara sebagai standard. 

Bukan itu sahaja, trak pikap berkenaan dilengkapi ciri All Round Monitor (ARM), Perakam Video (DVR), skrin sentuh bersaiz 7 inci serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Ready.

Naik taraf ARM, DVR dan sistem infohibur ditawarkan oleh semua pengedar sah Mitsubishi di seluruh negara. 

Jika berminat, Triton Athlete boleh anda miliki pada harga RM141,500 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Ia disertakan dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan sejauh 200,000km (mana-mana tiba dahulu). 

Google ads
Back to top button