
MITSUBISHI XPANDER 1.5 MIVEC, BOLEH TAHAN BEST CROSSOVER NI
Secara jujurnya penulis tidak pernah memandu uji Mitsubishi Xpander semenjak ia dilancarkan beberapa tahun yang dulu. Salah satu sebab yang membantutkan semangat penulis ialah rekaan unit trenkuasa yang dibekalkan pada model Xpander, enjin 4 silinder 1500cc dengan sistem pemasaan injap VVT.
Di atas kertas enjin ini hanya menjana sekitar 104 kuasa kuda pada 6000 RPM dan tork maksima 141Nm pada 4000 RPM. Dengan gandingan transmisi auto 4 kelajuan, Xpander kelihatan lemah di atas kertas. Tambahan pula dengan berat kasar Xpander mencecah 1269kg, secara logiknya ia akan terasa agak lemau.
Namun sebaik sahaja penulis mulai memandu dengan kelajuan perlahan, sederhana dan laju kesemua pengiraan di atas kertas tadi kelihatan salah. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, Xpander memecut dengan selamba dan bersahaja di atas lebuh raya sekaligus membuktikan data data di atas kertas tidak bermakna apa-apa.

Masalah yang biasa berlaku pada transmisi 4 kelajuan automatik ialah 4 ratio yang disediakan tidak mencukupi untuk semua keadaan pemanduan. Jika jurutera “menolak” semua ratio ke depan bagi pecutan, hasilnya ialah kenderaan akan memect dengan pantas tapi RPM enjin akan meligat tinggi pada kelajuan tinggi
Sebaliknya jika gear “ditarik” ke belakang untuk merendahkan RPM pada halaju tinggi, maka enjin akan terasa lemau tidak bertenaga pada kelajuan rendah. Pemandu perlu kerap menukar pada gear rendah bagi mendapatkan pecutan.
Sebab itulah kebanyakan pengeluar mula menggunakan transmisi 6 kelajuan automatik ataupun transmisi CVT bagi membolehkan pecutan yang baik pada halaju rendah dan RPM enjin yang rendah pada halaju yang tinggi bagi menjimatkan bahan api

Bagi Mitsubishi Xpander, mereka berupaya mendapatkan prestasi yang agak baik daripada transmisi 4 kelajuan automatik ini. Ia boleh memecut dengan baik dan pada halaju 120km/jam di lebuh raya, RPM enjin kekal pada 3000 RPM. Malah jika anda perlu memecut dari 100 kepada 120km/jam, ia boleh memecut dengan mudah dan bersahaja
Setiap kali pecutan dibuat, penulis dapat rasakan gear automatik akan diturunkan daripada gear 4 kepada gear 3 dengan lancar, dan klac dalam sistem transmisi akan mengunci dengan cepat. Penulis hanya mengesan RPM melonjak naik ke atas dan Xpander meluru ke depan dengan baik.
Jika penulis mahukan pecutan kekal lama, butang overdrive ada disediakan bagi membolehkan anda menekan pedal sehingga 160-170km/jam. Pada kelajuan tinggi, Xpander kekal stabil di laluan lurus dengan cesi kekal di laluan lurus serta memerlukan input stering yang minima.

Tapi bila di laluan yang agak berselekoh, cesi Xpander dengan jarak kelegaan 205mm menyebabkan anda duduk tinggi di atas jalan sama seperti anda duduk di atas sebuah kenderaan 4×4 merasa sedikit gayat. Ditambah pula dengan kusyen depan yang lebar dan luas, badan anda akan menggelungsur ke tepi bila mengambil selekoh dengan laju
Kusyen yang luas dan lapang ini menyebabkan pemandu yang berbadan besar merasa selesa bila duduk tapi bagi pemandu berbadan kecil maka situasi di atas akan berlaku. Di tambah pula dengan sistem penyerap hentak yang direka dengan selesa dan lembut, perjalanan anda akan terasa selesa di atas jalan yang beralun
Pada halaju 110km/jam, kadar bunyi yang didengari oleh penulis ada sekitar 59dB sahaja. Hanya sesekali bunyi angin kedengaran apabila halaju melebihi 120km/jam. Tiada gegaran atau kekasaran yang biasa ditemui pada model ekonomi ditemui pada Xpander.

Pada kebanyakan masa penulis akan memandu di lorong kiri lebuh raya dengan halaju antara 110-120km/jam. Jika dipandu dengan berhemah, satu tangki penuh Xpander membolehkan ia dipandu sejauh 570km. Secara anggaran, Xpander memberikan bacaan purata sekitar 14.2km bagi setiap liter petrol
Serta merta anda akan terasa seperti memandu sebuah kereta yang lebih mahal disebabkan cara Xpander menyerap permukaan jalan tidak rata. Sebenarnya cara enjin, transmisi dan sistem suspensi Xpander bekerja sangat bagus, memandangkan Xpander pada asalnya direka pada awal 2015 dan dipertontonkan di GAIKINDO pada 2016 dengan sasaran MPV mamp milik
Xpander adalah khusus untuk pasaran Indonesia dengan proses pembangunan dibuat di Indonesia khas untuk dijual di pasaran negara membangun. Di Indonesia kebanyakan MPV masih lagi menggunakan 2 beg udara.

Jadi tidak hairanlah Xpander hanya diberikan 2 beg udara sahaja serta tidak menawarkan ciri keselamatan aktif seperti brek kecemasan automatik. Bagi pasaran Malaysia Xpander juga diberikan ciri Active Stability Control, Hill Start Assist, Rest Reminder dan kamera 360 darjah
Untuk pasaran Malaysia, ia dijenamakan sebagai crossover 7 tempat duduk dan dengan jarak kelegaan 205mm ia hanya 15mm kurang tinggi berbanding Triton tapi 15mm lagi tinggi berbanding Mitsubishi Outlander. Kalau setakat nak mengharung air banjir kilat pada kedalaman 400mm tak jadi masalah langsung bagi Xpander.
Untuk ruang kargo, Xpander menawarkan 150 liter ruang apabila semua kusyen digunakan. Tapi jika kusyen barisan belakang dilipat, ia berupaya memberikan ruang sebesar 495 liter. Dengan panjang 4475mm, lebar 1750mm dan jarak antara roda 2775mm Xpander sebenarnya menawarkan ruang yang luas dalam kelasnya.

Dari segi rekaan luar, anda boleh jadi suka, tak suka atau tiada perasaan langsung dengan rekaan Dynamic Shield yang diperkenalkan. Bagi penulis, ia boleh dikatakan percubaan berani oleh Mitsubishi dengan posisi lampu utama di bampar depan manakala lampu kecil LED dinaikkan di atas.
Hanya lampu DRL yang menggunakan mentol halogen biasa sahaja yang nampak tak kena dengan Xpander. Dari sisi anda akan nampak profail rekaan Xpander ini adalah sebuah MPV, bukannya SUV. Kalau dipasang dengan roof rail, mungkin akan nampak lebih segak.
Rekaan lampu malam di belakang juga nampak menarik dengan motif seperti huruf L. Walaupun ditemani dengan lampu kabus belakang, ia nampak kurang agresif berbanding dengan rekaan muka depan Xpander.
Selain itu Xpander juga diberikan beberapa ciri lain untuk keselesaan pemandu dan penumpangseperti:
1. rekaan papan pemuka yang moden dan mahal serta unit multimedia 9 inci yang menyokong sambungan Apple Car Play, Android Auto serta paparan video 360 darjah
2. 2 poin untuk sambungan telefon dan 3 poin soket 12 volt
3. Ruang tambahan bagi menyimpan barang dari laci di depan papan pemuka, ruang konsol tengah, poket belakang, ruang bagasi belakang dan laci di bawah tempat duduk pemandu depan
4. Corong penyaman udara untuk penumpang belakang
5. Roda stering diambil dari model Outlander dengan ciri teleskopik, kusyen diberikan kemasan kulit berwarna hitam dengan corak berlian manakala bahagian syiling kereta diberikan warna cerah untuk kelihatan lebih luas

Mitsubishi Xpander ditawarkan pada harga RM 99,980 bagi pasaran Semenanjung Malaysia, satu harga yang tinggi jika dibandingkan dengan Toyota Veloz mahupun Honda BR-V. Tapi jika anda mahukan sebuah crossover dengan 7 tempat duduk yang sangat selesa dan sedap dipandu, mungkin anda boleh cuba Mitsubishi Xpander



