Artikel PilihanModifikasi

WAJAH-WAJAH YANG DILUPAKAN: PERODUA KELISA

Sebelum Perodua Myvi menjadi sensasi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan kereta keluarga yang praktikal dan lasak, model Kelisa ialah model Perodua terlaris jualannya selepas model Kancil. Apabila ia mula diperkenalkan pada tahun 2001, ia ialah satu peningkatan dari segi teknologi untuk pengeluar kereta kedua nasional ini.

Berbanding dengan model Kancil yang menggunakan teknologi yang agak ketinggalan zaman, model Kelisa didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini, terutamanya bahagian enjin di mana ia didatangkan dengan teknologi aci sesondol berkembar, 4 injap sesilinder dan sistem suntikan bahanapi elektronik untuk kesemua model.

Kelisa 02

Perodua Kelisa dijual dengan pilihan dua enjin yang berbeza, iaitu enjin ED-DE 850cc dan EJ-DE 1000cc yang masing-masing dipasang dengan kotak gear manual 5 kelajuan ataupun automatik 4 kelajuan (untuk model 1000cc sahaja). Dari segi pengendalian dan kuasa, ia jauh lebih baik daripada model Kancil di mana untuk model 1000cc, ia didatangkan dengan stereng berkuasa dan kuasa enjin yang hampir mencecah 60hp, membuatkan kereta ni amat lincah di atas jalanraya, terutamanya untuk menyusur jalanraya yang sesak di kota besar.

Dari segi nilai di pasaran terpakai, Perodua Kelisa menyimpan nilai yang tinggi di mana rata-rata ia masih dijual di atas paras RM10,000 untuk model pertamanya (2001) dan menginjak ke angka RM20,000 untuk model terakhirnya (2009). Ini mungkin disebabkan Kelisa masih relevan bagi pemandu-pemandu di Malaysia, terutamanya di bandaraya besar yang memerlukan sebuah kereta yang kecil, ekonomikal tetapi masih berkuasa untuk pergi dan balik dari kerja. Walaupun ia telah diganti dengan model Viva (dan kini Axia), ramai pemandu Malaysia masih meminati model Kelisa ini, dan ini menyumbang kepada harga pasaran terpakai yang agak stabil.

kelisa SE

Model istimewa seperti model Kelisa SE ialah model yang paling stabil harga pasarannya di mana kereta ini dijual pada harga lingkungan RM15,000 ke RM20,000 bergantung pada tahun pengeluaran.  Model ini jugak dicari-cari oleh peminat Kelisa oleh kerana ia didatangkan dengan pelbagai aksesori tambahan seperti bodykit lengkap, tempat duduk fabrik istimewa, stereng bersalut kulit dan jugak warna metalik oren yang cukup menyerlah.

Kos penyelenggaraannya jugak boleh dikatakan rendah di mana alat-gantinya amat mudah untuk diperolehi, samada baru ataupun daripada “kedai potong”. Alat ganti tulen masih dijual oleh pihak Perodua dan jugak pengeluar alat-ganti OEM yang memastikan kereta ini masih boleh digunakan untuk jangkamasa yang lama. Kereta ini jugak sangat boleh diharap dari segi mekanikalnya jika ia diselenggara dengan baik. Bagaimanapun periksa getah cagak enjin yang akan rosak selepas berusia 4 tahun dan ada juga pengguna yang merungut cermin depan kereta ini mudah retak jika terkena bendasing jalanraya.

Sama seperti kesemua model-model Perodua, Kelisa diasaskan daripada model keluaran Daihatsu. Kelisa ialah kembar kepada Daihatsu Mira L700 keluaran tahun 1998 di mana perbezaannya hanyalah dari segi kosmetik. Memandangkan Kelisa ialah 90 peratus sama dengan model Mira, maka kesemua aksesori dan bodykit yang dihasilkan untuk Mira L700 boleh disalin masuk kepada cesi Kelisa.

Kalau korang nak ubahsuai bahagian enjin, enjin 660cc turbo dari model Mira L700 boleh digunakan, bagaimanapun, ramai peminat kurang gemar memilih jalan ini sebab ia dikirakan satu “downgrade” dari sesaran enjin asal 850cc atau 1000cc yang dianggap “merugikan”. Satu lagi ubahsuai yang sering dilakukan ialah dengan menggunakan kit turbo custom, lazimnya menggunakan turbo IHI atau TD04 sebagai asas sistem.

Bagaimanapun, enjin terbaik untuk model Kelisa ialah enjin K3-VET turbo yang berasal dari model Daihatsu YRV yang mempunyai sesaran 1300cc dan mampu menghasilkan lebih 130bhp dengan sistem gear automatik tiptronic. Kalau tak nak layan turbo tapi nak power jugak, enjin K3 ini jugak didatangkan dengan versi N/A yang boleh dimuatkan ke dalam cesi Kelisa secara plug and play, sama seperti versi turbonya. Untuk versi N/A, terdapat pilihan samada kotak gear manual atau auto.

slider dlm (2)

Bodykit JDM Kelisa sememangnya cukup banyak, dan antara yang popular ialah bodykit Mira Gino yang menyerupai kereta Mini klasik British. Selain itu, bodykit Mira Cuore / L700 standard juga menjadi pilihan yang lebih ekonomikal.

Kalau enjin dah masuk turbo dan kalau nak kereta nampak garang, bodykit Mira Turbo L700 boleh dijadikan pilihan. Untuk penampilan yang lebih unik, bodykit Opti Classic Licca / Opti Beex juga boleh digunakan. Selain daripada aksesori JDM, ramai jugak peminat Kelisa yang memilih bodykit tempatan, iaitu bodykit lengkap Kelisa SE yang tak kurang menarik dari segi rupa dan kualitinya.

DAIHATSU GINO CLASSIC AUTOCOAT

Untuk bahagian dalaman, kesemua aksesori dalaman Mira L700, termasuk model Gino dan Opti Licca Classic boleh digunakan. Antara yang popular ialah aksesori bahagian dalaman Mira Gino yang mengadunkan gaya retro pada setiap aksesorinya seperti tempat duduk, kulit pintu dan papan pemuka. Aksesori JDM lain yang popular ialah garnish krom pada bahagian luaran dan garnish kayu atau marmar untuk trimming dalaman. Tak lupa ialah aksesori dari Mira Gino seperti rak bumbung besi gaya retro dan sport rim Minilite asli.

Terdapat banyak jugak aksesori untuk pengendalian dan prestasi kereta seperti penyerap hentak bolehlaras dari jenama tempatan mahupun jenama dari Jepun. Sistem ekzos untuk model Mira L700 turbo boleh dipasang secara plug and play dan terbukti meningkatkan prestasi kenderaan. Sistem ECU enjin juga boleh dipasang dengan pelbagai ECU aftermarket tak kira dari jenis piggyback ataupun stand alone.

Dengan pelbagai aksesori yang menarik dan jugak prestasi kereta yang cukup baik, tak hairanlah Kelisa masih menjadi kereta kegemaran ramai di Malaysia. Tak rugi untuk berbelanja untuk membeli dan mengubahsuai kereta ni. Cuma kosnya mungkin mahal sikit, tapi amat berbaloi. Tak lama lagi, ia akan masuk ke senarai 5 kereta murah pilihan kami.

Google ads
Back to top button