Modifikasi

MORRIS MINOR 1000 TRAVELLER

Nama Morris Minor boleh sinonimkan dengan gaya tatahias “Inggeris”. Bagi saya, tidak ada ikon kenderaan tahun 1940-an dan 1950-an yang lebih British selain daripada Morris Minor.

SONY DSC

Percaya atau tidak, kereta Morris Minor ini dihasilkan dari tahun 1948 hingga 1973 dengan produksinya berterusan selama 25 tahun. Walaupun tak selama satu lagi ikon British, iaitu Mini atau saingannya dari Jerman iaitu Volkswagen Beetle dari segi produksi, kereta Morris Minor ni tak banyak berubah dari segi rupa selama 25 tahun ia dihasilkan.

Berbanding model sedan, model Traveller boleh dikatakan memang susah nak jumpa di atas jalan raya Malaysia, terutama yang dah direstorasi. Saya pun terkejut apabila melihat bingkai belakang kereta ini diperbuat daripada kayu Ash.

SONY DSC

Walaupun kayu Ash mudah dilentur, tapi keadaan cuaca tropika seperti Malaysia menyebabkan kayu-kayu ni menjadi reput dan akhirnya rosak kalau tak dijaga rapi.

Traveller keluaran tahun 1964 itu dimiliki oleh Abang Joe yang muda sikit sahaja daripada kereta ni. Ini ialah model daripada siri Minor 1000 yang menggunakan enjin 1000cc A-Series berbanding enjin 800cc untuk model Series II.

SONY DSC

Jujurnya, Abang Joe tak buat apa-apa modifikasi enjin ni kecuali penutup kepala silinder dan kotak penapis udara karburator SU tunggalnya disalut dengan krom. Enjin itu juga mungkin enjin paling relaks pernah Mekanika Malaysia paparkan – 36hp sahaja. Hehehe…

Bahagian-bahagian mekanikal lain pun sebenarnya masih standard, tetapi Abang Joe dah lakukan kerja yang cukup baik untuk restorasi semula badan kereta ni. Agak susah nak jumpa Morris Minor dengan kondisi badan yang macam ni, sebab selalunya kereta ni dah dimakan karat.

SONY DSC

Satu kelebihan kereta-kereta British era ni ialah besi panel badan keretanya agak tebal, sebab pada masa tu, keselamatan sesebuah kereta diukur dari segi kekerasan badan.

Abang Joe pastikan semua panel badan kereta kesayangannya ini bebas karat dan rata, sebelum kereta dihantar untuk cat. Aksesori-aksesori macam cermin sisi, bampar, kemasan yang asalnya krom dihantar semula untuk disalut dengan krom yang baru.

SONY DSC

Paling penting ialah bingkai kayu Ash di belakang kereta ini. Kayu-kayu asalnya diperbaiki dan dilayang dengan lapisan varnis yang akan memastikan kayu-kayu ini lebih tahan lama.

Apa yang paling best dan tak disangka-sangka ialah pilihan rimnya. Walaupun kereta yang dipandu lebih British dari Rowan Atkinson, rim yang digunakan ialah rim Work Equip 15 inci buatan Jepun.

SONY DSC

Analoginya macam Ratu Elizabeth pakai sepatu Onitsuka Tiger. Tapi rim Work Equip itu berjaya menaikkan lagi seri kereta yang dah berusia 50 tahun ni. Mungkin sebab rim ini mempunyai rekaan klasik, jadi kena la walaupun dimasukkan kepada kereta buatan British.

Rim tadi dibalut dengan tayar Dunlop bersaiz 195/50 di hadapan dan 205/50 di  belakang. Tayar-tayar itu pulak dihias dengan whitewall yang cocok dengan imej kereta veteran ni yang dah dilayangkan dengan cat putih lilac – warna putih asli gaya English.

SONY DSC

Bahagian dalaman pula, mungkin satu kerja yang belum habis di mana PVC yang membalut tempat duduk asal kereta ini nampak agak pudar dan lusuh. Tapi yang saya salute, semua tempat duduk, papan pemuka, panel pintu, stereng dan apa sahaja barang yang anda boleh tengok ialah original dan berusia 50 tahun!

Mungkin dengan sedikit kerja membalut semula dan polish rasanya ruang dalaman kereta ni akan nampak seperti baru keluar kedai pada tahun 1964.

SONY DSC

Morris Minor 1000 Traveller ni mungkin kereta yang paling perlahan, tua dan kurang modifikasinya. Tetapi kereta ni tetap unik dan kerja restorasi badannya ialah sesuatu yang boleh dibanggakan.  Cukup sukar kerana ia menggunakan panel besi yang tebal dan bingkai kayu. Kami tunggu ada tak siapa-siapa yang dah sumbat enjin SR20DET pada kereta ini.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button