Motosikal

MOTO GUZZI STELVIO NTX1200

Di Malaysia kini, menunggang motosikal berkuasa tinggi seperti sudah menjadi satu bentuk riadah. 

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (2)

Sama ada pada hujung minggu atau sekiranya ada kelapangan, jarak perjalanan tidak menjadi masalah. Asalkan penunggang dapat menikmati sesuatu yang baru dalam penjelajahan mereka.

Antara motosikal yang dikhaskan untuk keperluan sebegitu ialah model Stelvio NTX 1200 keluaran syarikat Itali, Moto Guzzi. Kalau diikutkan, Moto Guzzi lebih dikenali dengan dengan motosikal genre klasik. Namun mereka juga sebenarnya mempunyai pelbagai model lain termasuk kembara.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (3)

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Stelvio terbaharu ini diberikan pelbagai peningkatan, paling utama adalah penampilannya. Ia kini nampak lebih moden dan serasi dengan zaman.

Bukan sekadar bersifat estetik, ciri aerodinamik turut dimbil kira. Sehinggakan pada  bahagian tepi tangki turut dilengkapi penghadang angin khas untuk keselesaan penunggang.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (5)

Satu ciri istimewa yang boleh dikaitkan khas dengan Moto Guzzi ialah enjin dua silinder bersusunan V yang digunakan sejak dahulu lagi. Stelvio juga menggunakan struktur enjin sama berkapasiti 1,200cc.

Uniknya enjin ini, gegaran ke bahagian sisi dapat dirasa setiap kali pendikit dipulas. Paling jelas, ketika motosikal tidak bergerak. Tetapi, semakin tinggi kelajuan, tarikan ke bahagian sisi juga kian berkurangan, diganti dengan kuasa tolakan ke hadapan yang memacu jentera ini.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (7)

Enjin yang digunakan pada Stelvio ialah enjin paling berkuasa yang dihasilkan di kilang Moto Guzzi di Mandello del Lario, Itali. Walaupun begitu, ia tidak ditala untuk menjadikan Stelvio sebuah motosikal yang agresif, tetapi lebih kepada keselesaan.

Apa yang dapat dinikmati adalah pecutan yang lancar. Selain penukaran gear yang mudah. Tidak memerlukan kuisan kuat oleh kaki kiri penunggang.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (12)

Berada di atas lebuh raya, enjin Stelvio dapat dirasakan senyap dan lancar, walaupun mencecah kelajuan tinggi. Ini membuatkan tunggangan menjadi lebih selesa dan tenang. Selain itu, penunggang juga dapat menikmati tunggangan tidak memenatkan dengan posisi duduk yang menegak dan tempat duduk lebar. Baik untuk penunggang mahupun penumpang.

Lebar bar hendal adalah sesuatu yang penting. Terlalu lebar, ia akan menjadikan tangan penunggang lenguh dalam perjalanan jauh. Terlalu rapat pula akan memberi kesan pada tunggangan. Pada Stelvio ia cukup-cukup dan bersesuaian. Sebagai tambahan, tangan penunggang juga dilindungi dengan penghadang pada bahagian tersebut.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (16)

Perjalanan saya secara terus selama tiga jam setengah seperti tidak terasa di atas Stelvio. Apatah lagi, tangki minyaknya juga besar; boleh diisi sehingga RM50 sekiranya kosong dan mampu bergerak lebih 300km bergantung kepada cara tunggangan.

Sebagai tambahan, Stelvio turut dilengkapi penghadang angin yang boleh dilaras secara manual. Walaupun saya agak tinggi, penghadang angin ini cukup untuk menutup bahagian muka dan mengurangkan tolakan angin pada bahagian kepala.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (10)

Meskipun cenderung ke arah keselesaan, Stelvio masih berkemampuan untuk memberi keseronokan kepada penunggang di jalan-jalan berselekoh. Motosikal ini antara yang mempunyai susun atur meyakinkan. Semakin banyak selekoh yang dilalui, semakin saya ingin ‘baring’, cuma risau akan terkena beg sisinya.

Turut membantu ialah suspensinya. Di jalan yang beralun atau tidak rata, ia dapat menyerap hentakan dengan baik. Sementara sewaktu membelok, ia tetap memberi cengkaman yang meyakinkan.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (8)

Untuk keselamatan sekiranya anda terlebih bersemangat, motosikal ini dilengkapi sistem Pengawal Cengkaman (Traction Control) dan brek ABS.

Jika anda adalah penunggang utama Stelvio, kedua-dua suspensi motosikal boleh dilaras supaya sesuaidengan berat dan cara tunggangan. Maka, motosikal akan rasa lebih serasi.

Moto-Guzzi-Stelvio-mekanika (18)

Unit tunggang uji ini dilengkapi peralatan lengkap. Maksudnya, ada beg sisi aluminium. Helmet tidak boleh dimuatkan di dalam beg sisi ini tetapi ia masih lagi berguna untuk meletakkan barang seperti baju atau lain-lain untuk anda membawa diri mencari sesuatu yang baru.

[hr]SPESIFIKASI

Moto Guzzi Stelvio NTX1200

Enjin: Dua silinder V 90 darjah, empat lejang, penyejukan air dan udara

Transmisi: Enam kelajuan, pacuan syaf

Kuasa maksimum: 105hp @ 7,250rpm

Tork maksimum: 113Nm @ 5,800rpm

Suspensi hadapan: Fork USD 45mm boleh laras (beban spring, tekanan hidraulik dan lantunan)

Suspensi belakang: Lengan ayun tunggal, penyambung progresif, ‘monoshock’ boleh laras (tekanan hidraulik dan beban spring)

Brek hadapan: Cakera terapung 320mm dan angkup empat piston Brembo berkembar

Brek belakang: Cakera 283mm dan angkup dua piston Brembo

Berat: 272kg

Kapasiti tangki: 32 liter

Harga: RM79,888

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button